SUBANG, 18 APRIL – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini mengaturgerakkan seramai 69 pegawai dan anggota ke Sagaing, Myanmar bagi melaksanakan Operasi Starlight III, sebagai misi bantuan kemanusiaan susulan gempa bumi yang melanda negara itu pada 28 Mac lalu.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh berkata, pasukan tersebut terdiri daripada pelbagai kepakaran antaranya Forward Anaesthesia and Surgical Team (FAST) Hospital Medan Malaysia, elemen dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) diaturgerak bersama pasukan keselamatan.
“ATM telah membentuk pasukan perubatan yang terdiri daripada pakar bedah, pakar plastik, ortopedik dan juga pakar bius, serta pegawai dan anggota perubatan yang lain,
“Pasukan ini turut dibantu oleh anggota kejuruteraan dan sokongan bagi membentuk hospital medan dikawasan yang telah diberikan kepada kita oleh kerajaan Myanmar,” katanya selepas upacara pelepasan aturgerak Hospital Medan Malaysia ke Operasi Bantuan Kemanusiaan di Myanmar di Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk (Dr) Zilkeffeli Mat Jusoh berkata, aturgerak pasukan perubatan menjurus kepada hospital medan yang memerlukan kepakaran perubatan ini telah dipohon daripada kerajaan Myanmar susulan gempa bumi yang melanda negara tersebut. Foto: Airtimes/Pasri
Menurut beliau, pasukan yang diketuai oleh Kolonel Dr Ahmad Farhan Ahmad Fuad turut membawa kelengkapan merangkumi Hospital Medan Tahap Dua, peralatan perubatan, komunikasi, teknikal serta dua kenderaan dengan muatan keseluruhan 18 tan.
“Tahap perubatan yang akan diberikan adalah level 2 tetapi kali ini lebih menjurus kepada keupyaan pembedahan di medan. Di mana seperti sedia maklum, keadaan muka bumi akan terdapat kecederaan yang melibatkan patah dan sebagainya,
“Dalam masa yang sama juga kita dimaklumkan oleh kerajaan Myanmar fasiliti kesihatan mereka dalam keadaan serba kekurangan akibat gempa bumi yang berlaku. Oleh itu dengan adanya hospital medan yang bakal kita bentuk ini nanti akan membantu mereka dalam memastikan proses rawatan mangsa dapat dilakukan dengan baik,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, setakat ini, Hospital Medan berkenaan akan beroperasi di kawasan Sagaing, Myanmar dan tidak menolak kemungkinan lokasi itu berubah berdasarkan keadaan semasa.
Operasi Starlight III diaturgerak dari Pangkalan Udara Subang menggunakan dua pesawat Airbus A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan masing-masing berlepas pada 4.45 pagi dan 5.15 pagi.
Kedua-dua penerbangan ini dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Mandalay, Myanmar pada 7.30 pagi dan 8.00 pagi hari ini, waktu Malaysia.
Sementara itu, Dr Ahmad Farhan berkata, beliau dan pasukan akan memberikan rawatan kesihatan kepada mangsa yang terjejas apabila tiba di lokasi berkenaan.

Kolonel (Dr) Ahmad Farhan Ahmad Fuad berkata, pasukan yang terdiri daripada pakar am, pakar plastik, pakar tulang dan pakar bius ini akan melaksankan pembedahan di medan dalam membantu mangsa gempa bumi di negara itu. Foto: AirTimes/Pasri
“Kita pergi ke kawasan yang terjejas akibat bencana alam, jadi pasukan ada masa 72 jam untuk membuat persiapan termasuk keperluan semasa seperti bekalan air yang bersih dan elektrik untuk beroperasi serta keselamatan anggota,
“Operasi ini berbeza dengan Op Starlight I dan II di mana kita pergi ke negara yang dikatakan bergolak, namun pegawai dan anggota Op Starlight III bersemangat tinggi untuk berkhidmat, sesuai dengan mandat diberikan Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Hospital Medan ATM akan diaturgerakan dalam masa terdekat sementara menunggu persetujuan dari kerajaan Myanmar.
Sementara itu, pada 5 April lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan bersetuju menghantar Hospital Medan ke Myanmar bagi meneruskan bantuan kemanusiaan susulan gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter yang melanda negara itu.
Selain memberi rawatan, pasukan perubatan ATM juga akan menjalankan latihan serta berkongsi kepakaran bersama petugas kesihatan tempatan bagi memperkukuh keupayaan sistem kesihatan di negara tersebut.-airtimes.my
#ATM #hospitalmedan #KKD #Malaysia #Myanmar #airtimes