TAIPING, 22 April – Bukan mudah untuk melihat secara dekat kecekapan anggota elit negara, Gerup Gerak Khas (GGK) apatah lagi untuk dipertontonkan kepada umum.
Jarang-jarang sekali berlaku, namun keistimewaan tersebut dibawakan ke Taiping sempena upacara penutup Kursus Asas Komando Siri AK 1/2025 yang berlangsung di Zon Gugur Tekah (Lapangan Terbang Tekah).
Acara tersebut akan bermula esok dengan kemuncaknya pada Sabtu (26 April) iaitu upacara penutup Kursus Asas Komando Siri AK 1/2025.
Acara ini memberi peluang kepada orang ramai untuk mengetahui lebih dekat tentang kepakaran Gerak Khas.
Penganjuran acara mendapat kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang dan Selama.
“Pelbagai acara ketenteraan telah diatur sepanjang program ini bermula 23 April dari pukul 7.30 pagi hingga 6 petang. Antaranya demonstrasi menyelamatkan tawanan perang dah demonstrasi kepakaran Gerak Khas,
“Turut diadakan ialah pameran statik aset pasukan khas dan kelengkapan Tentera Darat, persembahan pancaragam, jualan gerai makanan, minuman dan cendera kenangan,
“Tarikan lain ialah perkampungan ikhtiar hidup tempur dan promosi kerjaya Tentera Darat,
“Kemuncak acara pada 26 April iaitu upacara penutup Kursus Asas Komando Siri AK 1/2025 dengan kehadiran pegawai-pegawai kanan GGK,” memetik maklumat tersebut.
Kebiasaannya upacara penutup Kursus Asas Komando diadakan di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kem Sungai Udang di Melaka yang merupakan pusat latihan utama GGK.
Sehubungan itu, peluang untuk orang ramai termasuk dari negeri berdekatan Perak hadir menyaksikan acara ini di lokasi terbuka yang jarang-jarang diperolehi.
Ini juga peluang terbaik kepada orang ramai khususnya generasi muda melihat lebih dekat pelbagai aset-aset tempur selain dapat mengenali anggota elit negara, GGK secara lebih dekat.
Ia juga secara tidak langsung dapat menyuburkan minat dalam pasukan keselamatan selain sebagai terjemahan semangat patriotik.-airtimes.my
#pertahanan #GGK #gerakkhas #airtimes #TDM #komando