PUTRAJAYA, 22 APRIL – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menjalankan siasatan berhubung penularan satu video yang memaparkan Jalur Gemilang tidak lengkap tanpa bulan sabit pada sebuah ekspo bayi di ibu negara baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, aspek siasatan yang akan dilaksanakan sama seperti siasatan terhadap isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap pada muka hadapan sebuah akhbar.
“Saya ambil peluang ini untuk mengingatkan semua pihak bahawa bendera ini adalah lambang identiti negara yang membawa pelbagai makna dan maksud di sebaliknya,” tegasnya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan KDN di Putrajaya, hari ini.
Beliau menekankan lagi, sebarang bentuk kelalaian, kecuaian, kealpaan yang boleh mengundang resah dalam kalangan masyarakat sebaik-baiknya (wajib) dielakkan.
Susulan, baru-baru ini dilaporkan tular di media sosial berkenaan paparan Jalur Gemilang tiada simbol bulan sabit di belakang pentas gerai sebuah syarikat makanan bayi dari Singapura, pada pameran produk bayi di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur sehingga mencetuskan kritikan orang ramai. -airtimes.my
#AirTimes #KDN #JalurGemilang #ekspo #Malaysia