KUANTAN, 18 APRIL – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa murka terhadap isu pencerobohan tanah yang semakin menjadi-jadi dan menegaskan ia kini menjadi musuh utama negeri, mengatasi isu dadah dan jenayah.
Baginda mendedahkan, setakat kini, lebih 14,000 hektar tanah kerajaan termasuk hampir 6,000 hektar Hutan Simpan Kekal (HSK) telah diceroboh dan diusahakan secara haram, dengan pelbagai tanaman seperti kelapa sawit, getah serta durian.
“Lebih malang, 5,997.09 hektar hutan simpanan kekal juga diceroboh kononnya atas nama pertanian tetapi hakikatnya rompakan terbuka terhadap harta negeri,” titah baginda pada Jumaat.
Tegas Sultan Abdullah, meskipun isu ini telah berlarutan sejak lebih empat dekad lalu, namun baginda enggan terus dibelenggu masa silam dan bertekad untuk menghentikan pencerobohan secara menyeluruh.
“Sebaliknya, kita berhasrat untuk menoktahkan kemelut pencerobohan tanah secara haram ini. Jika ada unsur rasuah, salah guna kuasa atau pengkhianatan terhadap amanah, biarlah Allah SWT yang maha adil menentukan dan menjatuhkan hukumnya,” tambah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang.
Mengulas lanjut, baginda turut menyokong tindakan tegas kerajaan negeri dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang telah memulakan operasi besar-besaran termasuk pemotongan tanaman haram dan penutupan lombong haram.
“Beta amat berbangga dan menzahirkan penghargaan atas usaha kerajaan negeri termasuk membuat tangkapan, memotong pokok-pokok yang ditanam secara haram dan juga menutup lombong-lombong yang dibuka tanpa rasa malu dan takut,” ujar Sultan Abdullah.
Malah, bermula kini, tiada sebarang kelulusan baru akan diberikan untuk permohonan tanah yang telah diceroboh bagi mengekalkan prinsip tidak berkompromi dalam menjaga kedaulatan negeri dan undang-undang. -airtimes.my
Terdahulu Airtimes melaporkan, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan perasaan murka terhadap isu pencerobohan tanah di negeri Pahang dan bertitah agar tindakan keras diambil segera. -airtimes.my
#AirTimes #Pencerobohan #Pahang #SultanPahang #Murka