KUALA LUMPUR, 18 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dalam usaha menyokong penyelesaian aman dan kemanusiaan terhadap krisis berpanjangan di negara itu.
Menurut Anwar, pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana terbuka dan konstruktif dengan fokus utama terhadap keperluan mendesak menyegerakan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar, termasuk penempatan segera sebuah hospital medan.
“Petang tadi, saya telah bertemu dengan Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar,
“Dalam pertemuan lebih satu jam ini, kami berbincang secara terbuka dan konstruktif, dengan tumpuan kepada keperluan mendesak untuk menyegerakan bantuan kemanusiaan, termasuk penempatan segera sebuah hospital medan,” katanya dalam catatan Facebook malam tadi.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin turut menyentuh kepentingan mengembalikan Myanmar kepada keadaan sediakala demi kestabilan dan keselamatan rakyatnya.
Anwar yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Thailand mulai Khamis, menemui Min di Bangkok petang semalam.
Pertemuan itu turut dihadiri bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra.
Perdana Menteri turut menyambut baik langkah awal yang diambil oleh pihak berkuasa Myanmar, termasuk pembebasan 4,800 tahanan pada malam tadi, yang disifatkannya sebagai satu isyarat penting ke arah meredakan ketegangan.
“Tindakan sebegini memberi isyarat yang cukup bermakna. Kita mesti terus menggalakkan semua pihak untuk berunding secara serius demi masa depan Myanmar dan kesejahteraan rakyatnya,” katanya lagi.
Semalam, ketua kerajaan tentera Myanmar dilaporkan memberi pengampunan kepada hampir 5,000 tahanan sempena sambutan Tahun Baharu tradisional negara itu.
Sebuah badan pemerhati bebas dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya 22 daripada individu dibebaskan adalah tahanan politik.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar dijadualkan akan mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil Kerajaan Perpaduan Nasional (National Unity Government, NUG) hari ini sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh untuk mendengar semua pihak dan mencari penyelesaian menyeluruh terhadap konflik dalaman Myanmar.
Pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berlepas ke Myanmar awal pagi tadi, bagi melaksanakan misi bantuan kemanusiaan susulan gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada 28 Mac lalu.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh berkata, pasukan yang diketuai Kolonel Dr Ahmad Farhan Ahmad Fuad itu terdiri daripada 16 pegawai dan 53 anggota dari pelbagai kepakaran.
Pasukan ini turut membawa keperluan peralatan seperti Hospital Medan Tahap Dua, kit perubatan, peralatan komunikasi dan teknikal, sebuah kenderaan pacuan empat roda serta dua buah trak yang membawa muatan keseluruhan seberat 18 tan.-airtimes.my
#Malaysia #Myanmar #Anwar #bantuankemanusiaan #gempabumi #airtimes