KUALA LUMPUR, 26 MAC – Kebimbangan dalam kalangan rakyat berhubung kemunculan semula amalan dan fahaman komunisme di Malaysia adalah berasas, memandangkan ianya kini dilakukan secara terang-terangan.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat), Mohd Nor Mohd Izzat Johari mendakwa, kumpulan yang mengangkat fahaman komunisme tidak lagi bergerak secara senyap, malah semakin lantang memperlihatkan kehadiran mereka.
“Dulunya mungkin mereka bergerak secara tutup dan sekarang saya anggap mereka sudah mendapat taring daripada pihak tertentu untuk buat secara terbuka,
“Saya yakin dulu-dulu mungkin mereka terpaksa bergerak secara tertutup kerana takut-takut untuk disekat ataupun ditahan tetapi tetap berlaku,” ujarnya kepada AirTimes.
Malah, beliau percaya wujudnya ‘tangan ghaib’ yang melindungi mereka daripada tindakan pihak berkuasa demi kepentingan politik tertentu.
“Kalau kata pihak berkuasa ini ada tangan ghaib saya rasa bukan tangan-tangan ghaib lagi lah sekarang. Itulah tangan yang sebenar dan juga saya tegaskan bahawa tangan ghaib yang ada ini adalah di kalangan orang-orang politik yang berada dalam kerajaan Malaysia,
“Tidak kiralah sekarang ataupun yang lepas apabila mereka memegang sahaja kuasa pentadbiran kerajaan Malaysia, mereka terus memainkan peranan sebagai tangan ghaib,” tambahnya.
Beliau yang dikenali sebagai Cikgu Izzat berkata, kewujudan perlindungan ini dapat dilihat menerusi beberapa insiden sebelum ini, termasuklah kontroversi membawa balik abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng, yang dianggap sebagai penghinaan terhadap pasukan keselamatan yang berjuang menentang komunis.
Selain itu, isu pemilik kedai makan yang menggunakan pinggan mangkuk bercetakkan wajah tokoh komunis, Mao Zedong, turut mencetuskan persoalan apabila tidak ada perkembangan lanjut mengenai tindakan yang diambil, selain sekadar sesi soal siasat ketika isu tersebut menjadi tular.
“Jadi ini semua ada kaitan kerana ia melibatkan ideologi komunis. Mereka mahu menulis semula sejarah dan mencipta naratif baharu yang mengangkat komunis sebagai pejuang kerana menentang British,” luahnya.
Oleh yang demikian, Cikgu Izzat mencadangkan agar agensi penguatkuasaan diberikan lebih kuasa bagi mengekang penyebaran ideologi komunisme di negara ini.
“Kita sudah mempunyai Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan agensi lain yang boleh mengawal pertumbuhan pertubuhan seperti ini, tetapi sayangnya kuasa ini tidak digunakan sepenuhnya.
“Jika kerajaan sedia ada tidak dapat bertindak tegas, rakyat Malaysia harus bersiap sedia untuk membuat perubahan demi keselamatan negara,” tegasnya.
#komunisme #fahaman #Malaysia #CikguIzzat #tanganghaib #AirTimes