KUALA LUMPUR, 20 MAC – Kaukus Palestin Parlimen Malaysia dengan tegas mengecam serangan terbaharu Israel terhadap Gaza dan menuntut untuk menghentikan semua bantuan ketenteraan serta tindakan tegas segera kepada Israel bagi menamatkan keganasan.
Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh, menyifatkan tindakan yang meragut sekurang-kurangnya 436 nyawa, termasuk 183 orang kanak-kanak itu sebagai satu tindakan yang semakin memburuk, pembantaian atau genosid terhadap rakyat Palestin, pekerja kemanusiaan, agensi dan pekerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurutnya, serangan Israel ke atas Gaza itu, mendapat perlindungan dan sokongan ketenteraan penuh daripada Amerika Syarikat (AS) yang juga didakwa bersubahat dalam konflik ini.
“Dengan membekalkan senjata, melindungi Israel daripada pertanggungjawaban, dan membiarkan kepungan berterusan ke atas Gaza, AS secara langsung bersubahat dalam jenayah ini,” katanya.
Beliau berkata, sekatan bantuan secara menyeluruh yang masih diteruskan oleh Israel bersama arahan baharu pengusiran secara paksa, merupakan hukuman kolektif membiarkan seluruh rakyat Palestin kebuluran dengan memaksa mereka meninggalkan kediaman.
Tegasnya lagi, kecaman sahaja tidak mencukupi. Dunia mesti bertindak segera untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini dan berdiri bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk kebebasan, keadilan, dan maruah.
“Ini adalah bencana kemanusiaan yang sedang berlaku di depan mata dunia, dan dunia tidak boleh terus berdiam diri,” tegasnya.
“Kami terkejut dengan serangan kejam terbaru terhadap kemudahan Pejabat Perkhidmatan Projek Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNOPS) di tengah Gaza.
Justeru, masyarakat antarabangsa perlu harus campur tangan dan bertindak tegas dan segera dengan membuka laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza bagi menghalang jenayah perang berterusan.
Dalam pada itu, Syed Ibrahim turut mengecam kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mengatakan serangan itu hanyalah ‘permulaan’.
“Ini membuktikan niat sebenar Israel, (iaitu) bukan keamanan yang dicari, tetapi pemusnahan,” katanya.
Selain itu, katanya Israel perlu dipertanggungjawabkan atas jenayah perang dan tindakan dikenakan melalui saluran undang-undang antarabangsa.
Syed Ibrahim turut menyatakan, daripada serangan yang disengajakan dan tidak sah ini, telah mengorbankan seorang pekerja kemanusiaan asing serta mencederakan lima yang lain dalam keadaan kritikal. -airtimes.my
#AirTimes #Gaza #Palestin #Israel #PBB