KUALA LUMPUR, 20 MAC – Ibarat tidak serik. Selepas kes penghinaan Islam membabitkan Cecelia Yap dan Harith Iskander, polis kini menahan seorang pegawai farmasi yang didakwa memuat naik komen berunsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di laman sosial Facebook.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang individu yang terbaca komen tersebut pada 18 Mac lalu.
“Susulan daripada laporan itu, kita telah menahan seorang lelaki berusia 29 tahun bagi membantu siasatan,” katanya pada Khamis, lapor Harian Metro.
Menurut beliau, komen yang dibuat oleh seorang pengguna Facebook dikenali sebagai ‘Khor Soon Keat’ didakwa menghina Nabi Muhammad SAW dan turut disokong oleh individu lain.
Tegasnya, suspek kini direman selama dua hari sehingga esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam pada itu, beberapa individu lain juga difahamkan membuat hantaran jelik dengan menghina agama Islam dalam hantaran yang berasingan.
Antara komen yang tersebar termasuk dakwaan bahawa Al-Quran hanyalah “buku dongeng kuno” serta tuduhan keji terhadap Nabi Muhammad SAW.
Komen berbaur kebencian ini telah mencetuskan kemarahan umat Islam, yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas bagi mengelakkan insiden sebegini berulang. -airtimes.my
#HinaIslam #KhorSoonKeat #komenjelik #AgamaIslam #malaysia #AirTimes