Home Semasa Pesawat tempur FA-50 Filipina terhempas, dua juruterbang maut

Pesawat tempur FA-50 Filipina terhempas, dua juruterbang maut

by Suraya Aziz

FILIPINA, 5 MAC – Sebuah pesawat pejuang FA-50 milik Tentera Udara Filipina (PAF) yang dilaporkan hilang sejak semalam telah ditemui terhempas di kawasan pergunungan Gunung Kalatungan, Bukidnon.

Komando Mindanao Timur Angkatan Tentera Filipina, Leftenan Jeneral Luis Rex Bergante mengesahkan, dua juruterbang pesawat berkenaan turut terkorban dalam insiden tersebut.

“Pesawat itu telah dikesan di Mt. Kalatungan, Bukidnon. Juruterbang ada di sana. Tadi, mungkin (11 pagi),

“Operasi sedang dijalankan untuk menurunkan mayat juruterbang serta mengumpulkan serpihan pesawat bagi siasatan lanjut,” kata Luis seperti dilaporkan oleh Inquirer.net.

Tegasnya, satu operasi pencarian berskala besar telah dilancarkan dengan bantuan aset ketenteraan sejurus pesawat tempur itu dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi taktikal malam menentang kumpulan pemberontak di Mindanao.

Katanya, serpihan pesawat kemudiannya berjaya dikesan pada Rabu.

Sebelum ini, Jurucakap PAF, Kolonel Maria Consuelo Castillo mendedahkan, pesawat berkenaan terputus hubungan dengan pasukan lain beberapa minit sebelum tiba di kawasan sasaran.

“Selepas tengah malam pada 4 Mac 2025, sebuah jet pejuang FA-50 hilang semasa Operasi Malam Taktikal. Pesawat itu kehilangan komunikasi dengan seluruh penerbangan yang terlibat dalam misi beberapa minit sebelum sampai ke kawasan sasaran,” katanya.

Menurut Castillo, pesawat lain dalam misi tersebut telah berulang kali cuba menghubungi pesawat yang hilang itu sehingga mereka kembali ke Mactan, Cebu.

Untuk rekod, pesawat FA-50 merupakan pesawat tempur ringan buatan Korea Selatan yang diperoleh oleh kerajaan Filipina sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keupayaan pertahanan udara negara.

Insiden ini merupakan kejadian besar pertama yang melibatkan pesawat tersebut sejak diperkenalkan dalam perkhidmatan PAF. -airtimes.my

#FA-50 #Filipina #Airtimes #PAF #Pesawatpejuang #Nahas #Maut

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?