KUALA LUMPUR, 5 Mac – Sebanyak 1,215 orang etnik Rohingya Myanmar telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sejak tahun 2020 hingga 15 Januari 2025.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah tersebut, enam pendaratan direkodkan di Pulau Langkawi, satu di Kuala Kedah, dan satu lagi di Pulau Pinang.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat bagi menjawab soalan kepada Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi), yang minta KDN perinci jumlah orang Rohingya yang menceroboh Langkawi sejak 2021 dan langkah membendung perkara itu.
Bagi menangani masalah pencerobohan dan perdagangan manusia yang menjadikan Langkawi sebagai destinasi, Saifuddin berkata, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah bersepadu, termasuk pengaktifan Operasi Khas OP GUARD 4.0 untuk meningkatkan kekerapan rondaan laut dan udara di kawasan ‘hot spot’.
“Operasi bersepadu ini merupakan inisiatif APMM untuk menangani pencerobohan PATI khususnya etnik Rohingya Myanmar ke Malaysia yang cuba memasuki Malaysia melalui perairan Pulau Langkawi khususnya dengan dengan pengarahan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),
“Agensi sahabat lain yang terlibat dalam OP GUARD 4.0 adalah Tentera Lauat Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Pasukan Polis Marin (PPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM),” jelas kementerian itu lagi.
Selain itu, beliau berkata, APMM turut memperkukuh kerjasama serantau dengan negara jiran seperti Thailand bagi mendapatkan maklumat risikan berkaitan pengesanan bot PATI.
Bagi memastikan pengawasan berterusan, Operasi Harian OP AMAN juga dilaksanakan secara konsisten di perairan Kedah dan Perlis. Sepanjang tempoh 2020 hingga Januari 2025, sebanyak 27,055 pemeriksaan dan 881 tangkapan telah dibuat di bawah operasi ini.
Menurut Saifuddin, dalam usaha meningkatkan keberkesanan pengawasan, APMM juga telah mengoptimumkan penggunaan teknologi termasuk radar serta sistem Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) yang telah dinaik taraf pada tahun 2023.
“Terdapat tiga Remote Sensor Site (RSS) iaitu di Pulau Jarak, Pulau Perak, dan Tanjung Kemarong, Pulau Langkawi, berperanan memantau perairan negara,
“Selain itu, sistem C4ISR yang baharu siap sepenuhnya pada 4 Februari 2025 turut digunakan bagi mengintegrasikan data daripada pelbagai sistem di bawah APMM,” ujarnya lagi. -airtimes.my
#keselamatan #airtimes #APMM #KDN #Roghingya #Langkawi
