KUALA LUMPUR, 8 FEB – Peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 kini memakai pakaian celoreng Tentera Darat Malaysia berbanding pakaian khas PLKN sebelum ini, selaras dengan keputusan yang telah dipersetujui di peringkat kerajaan.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Mejar Jeneral Datuk Hj Yaacob Hj Samiran menegaskan, pemakaian pakaian celoreng ini bukan sahaja mencerminkan latihan ketenteraan asas yang mereka jalani malah sejajar dengan amalan kebanyakan negara lain yang mempunyai program National Service.
“Pemakaian loreng Tentera Darat telah pun dipersetujui di peringkat Tatakelola Dewan Kenegaraan yang dipersetujui oleh Yang Berhormat Perdana Menteri .
“Di negara-negara lain selepas kita buat kajian, peserta latihan khidmat negara memakai uniform celoreng tentera masing-masing. Selain itu, pakaian ini telah melalui pelbagai ujian spesifikasi dan dinilai sesuai untuk latihan lasak,” katanya.
Langkah ini juga bertujuan mempercepat dan mengurangkan kos kerana uniform tersebut sudah tersedia dalam inventori.
“Kalau kita menggunakan pakaian yang lain daripada pakaian yang tersedia ini, kita akan mengalami proses yang agak lama dan kosnya lebih mahal. Tapi yang ini kosnya lebih murah kerana dia sedia ada dalam sistem,” tambahnya.
Namun begitu, tegasnya, peserta tidak dibenarkan membawa pulang pakaian celoreng tersebut selepas tamat latihan.

Sebahagian peserta PLKN 3.0 yang mengikuti latihan menembak senjata ringan yang bertempat di Lapang Sasar Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. (Foto: Zulhaizi)
Beliau berkata demikian ketika ditemui Airtimes selepas sesi latihan menembak senjata ringan yang bertempat di Lapang Sasar Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Yacoob berkata, daripada jumlah keseluruhan pelatih yang mendaftar nama secara sukarela, terdapat 5 peserta terpaksa diberhentikan dari program PLKN 3.0 atas faktor kesihatan yang kronik.
PLKN 3.0 yang diperkenalkan semula pada tahun ini menandakan permulaan baharu selepas dihentikan selama lima tahun sejak 2018.
Berbeza dengan versi terdahulu yang berlangsung selama tiga bulan di kem-kem terpilih, PLKN 3.0 diperbaharui dengan pendekatan dua latihan asas ketenteraan selama 45 hari di kem-kem latihan tentera yang dikendalikan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Program ini dihidupkan semula dengan matlamat membentuk jati diri, disiplin dan patriotisme dalam kalangan belia, seiring dengan keperluan semasa negara.
PLKN 3.0 akan diteruskan dengan siri kedua pada bulan Mei di dua lokasi iaitu Kuala Lumpur dan Pekan, Pahang, dengan pengasingan peserta lelaki dan perempuan. -airtimes.my
#PLKN #UnifomCeloreng #Malaysia #JLKN