MANILA, 3 FEB – Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr menegaskan, sistem peluru berpandu Amerika Syarikat (AS) yang ditempatkan di negaranya hanya akan dipulangkan sekiranya China menghentikan tuntutan terhadap Laut China Selatan.
Tegasnya, Filipina tidak akan sesekali tunduk dengan mudah kepada tekanan China yang disifatkan sebagai “kelakuan agresif dan paksaan”.
“Mari kita membuat perjanjian dengan China. Berhenti menuntut wilayah kami (Filipina), berhenti mengganggu nelayan kami, berhenti merempuh bot kami, berhenti menyerang rakyat kami menggunakan meriam, berhenti menembak laser ke arah kami dan hentikan tingkah laku agresif serta paksaan anda.
“Jika itu dilakukan, kami akan mengembalikan peluru berpandu Typhon (kepada AS),” kata Marcos, lapor media tempatan Filipina.
Kenyataan berkenaan susulan, China berulang kali menuntut Filipina menghapuskan sistem peluru berpandu jarak pertengahan, Typhon yang dipasang oleh AS di utara Filipina tahun lalu.
Beijing menuduh langkah itu sebagai pencetus “konfrontasi geopolitik dan perlumbaan senjata.”
Walau bagaimanapun, Marcos berkata, dakwaan berkenaan tidak munasabah memandangkan peluru berpandu milik China adalah seribu kali ganda lebih kuat berbanding yang dimiliki negaranya.
Mengulas lanjut, sistem peluru berpandu Typhon terdiri daripada pelancar dan sekurang-kurangnya 16 peluru berpandu standard, Missile-6 serta Tomahawk Land Attack Missiles.
Kesemua aset berkenaan telah dipindahkan kira-kira dua minggu lalu dari utara Filipina ke lokasi berhampiran ibu negaranya di Manila.
Lokasi baharu terbabit membolehkan peluru berpandu Tomahawk yang mampu mencapai jarak lebih 1,600 kilometer itu jatuh dalam lingkungan tanah besar China sekiranya tidak berjaya dipintas sejurus dilancarkan.
Untuk rekod, konflik di Laut China Selatan bermula akibat tuntutan bertindih ke atas kawasan perairan yang kaya dengan sumber semula jadi seperti minyak dan gas serta merupakan laluan perdagangan utama.
China menuntut hampir keseluruhan laut itu melalui “nine-dash line” yang ditolak oleh negara lain termasuk Filipina, Vietnam, Malaysia, Brunei dan Taiwan.
Manakala, ketegangan meningkat apabila China mengabaikan keputusan Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa dan membina pulau buatan serta menempatkan aset ketenteraan di kawasan yang dipertikaikan.
Sejak itu, pertembungan antara kapal pengawal pantai dan nelayan semakin kerap berlaku, mendorong Filipina dan sekutunya, termasuk Amerika Syarikat untuk meningkatkan kehadiran ketenteraan di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ). -airtimes.my
#pertahanandankeselamatan #LautChinaSelatan #Maritim #AirTimes