Home Semasa Panglima ATM adakan lawatan perpisahan ke Singapura

Panglima ATM adakan lawatan perpisahan ke Singapura

by Suraya Aziz

SINGAPURA, 21 JAN 2025 – Kunjungan hormat Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, ke atas Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen, hari ini adalah sebagai sebahagian daripada lawatan perpisahan dalam perkhidmatan beliau sebagai Panglima ATM.

Dalam pertemuan tersebut, Dr Ng menyampaikan penghargaan kepada Mohammad atas usaha dan sumbangan beliau dalam memperkukuh kerjasama pertahanan dua hala antara Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan ATM.

Beliau turut menekankan kepentingan hubungan erat antara rakyat kedua-dua negara yang terus dipupuk melalui interaksi pertahanan.

Mengulas lanjut, lawatan perpisahan yang berlangsung dari 20 hingga 21 Januari 2025 ini, merupakan sebahagian daripada jadual rasmi Mohammad sebelum bersara.

Dalam rangka lawatan tersebut, beliau turut berkesempatan bertemu dengan Panglima Angkatan Pertahanan Singapura, Naib Laksamana Aaron Beng, selepas memeriksa Guard of Honour di MINDEF.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman semasa lawatan ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) Singapura (Foto: MINDEF Singapura)

Menurut kenyataan MINDEF Singapura, lawatan ini bukan sahaja menonjolkan hubungan pertahanan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Singapura malah juga mencerminkan persahabatan yang kukuh antara kedua-dua negara jiran.

“Angkatan bersenjata kedua-dua negara aktif menjalin kerjasama melalui pelbagai platform, termasuk latihan dua hala seperti pertukaran profesional, serta latihan silang kursus ketenteraan (cross-attendance of courses).

“Selain itu, kerjasama ini turut diperluaskan melalui forum pelbagai hala seperti Five Power Defence Arrangements, ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM), dan ADMM-Plus,” menurut kenyataan MINDEF pada Selasa.

Sementara itu, lawatan perpisahan ini juga menandakan penghujung perkhidmatan Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad sebagai Panglima ATM.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan kerjasama pertahanan serantau.

Kerjasama erat ini diharapkan dapat diteruskan di bawah kepimpinan baharu, sekaligus menyumbang kepada kestabilan dan keamanan serantau. -airtimes.my

#MINDEF #PanglimaATM #Singapura #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?