PUTRAJAYA, 21 JAN 2025 – Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusan berhubung isu pelarasan pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum tahun 2013, dengan tarikh baharu perbicaraan ditetapkan pada 3 Februari depan.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Hashim Hamzah bersama hakim, Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Ismail Brahim itu memutuskan demikian selepas mendengar hujahan peguam kedua-dua pihak.
Mengulas lanjut, pesara tentera, Mej Hj Mior Rosli Dato Hj Mior Mohd Jaafar, TUDM (Bersara) berkata, penangguhan ini dibuat selepas pihak perayu, iaitu kerajaan, terus bertegas bahawa terdapat kekhilafan dalam keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Dr. Suzana, sebelum ini.
“Mahkamah (hari ini) menangguh keputusan disebabkan pihak Perayu (Kerajaan) masih berkeras yang hakim mahkamah Tinggi, Dr Suzana masih khilaf dalam membuat keputusan,” jelasnya pada Selasa.
Ujarnya, pihak perayu berhujah bahawa Mahkamah Tinggi tidak mengambil kira prinsip undang-undang yang jelas, termasuk Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin bahawa manfaat pencen tidak boleh dikurangkan.
Dalam pada itu, Mior sekali lagi menegaskan, kelewatan ini mencerminkan kegagalan Majlis Angkatan Tentera (MAT) dalam melaksanakan tanggungjawab mereka untuk memastikan penyelarasan pencen pesara ATM dibuat secara adil.
“Pada saya, semua pihak perayu, terutama MAT tetap gagal melaksanakan tugas mereka untuk menyelaraskan pencen pesara ATM yang bersara sebelum 2013,” jelasnya lagi.
Tegasnya, prinsip yang digariskan dalam Perkara 147 dan keputusan terdahulu Mahkamah Persekutuan seharusnya menjadi panduan dalam isu ini.

Sebahagian daripada veteran ATM yang hadir di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada Selasa
Terdahulu, pada 5 Februari 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan saman pemula yang difailkan Mior Rosli Mior Md Jaafar bersama 49 veteran ATM lain pada 17 November 2022.
Mahkamah Tinggi telah memutuskan veteran ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 mempunyai hak untuk pencen mereka diselaraskan.
Malah, penyelarasan tersebut perlu mengikut kadar dan cara yang sama bagi pesara ATM yang bersara selepas 1 Januari 2013.
Perbicaraan tersebut meletakkan Kerajaan Malaysia, Perdana Menteri Malaysia, Menteri Pertahanan dan MAT sebagai defenden.
Seterusnya, pada 9 Februari 2024, kerajaan dilaporkan telah mengemukakan rayuan ke mahkamah melalui peguam persekutuan berhubung isu pelarasan pencen terbabit.
Mahkamah Rayuan kemudiannya menetapkan 21 Januari 2025 (hari ini) sebagai tarikh keputusan namun telah ditangguh kepada satu tarikh baharu iaitu pada 3 Februari 2025.-airtimes.my
#pertahanan #veteranATM #MiorRosli #Mahkamah #airtimes