GONG KEDAK, 21 Jan – Pesawat Sukhoi Su-30MKM Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka terus beroperasi dengan cemerlang untuk tempoh 10 tahun akan datang menerusi pelaksanaan Program 10th Year Service Life Extension Programme (SLEP).
Program ini dikendalikan oleh syarikat tempatan, Aerospace Technology Systems Corporation (ATSC).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan bahawa program ini bertujuan memastikan pesawat TUDM berada dalam keadaan optimum dan terus memainkan peranan penting dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Menurut Mohamed Khaled, program SLEP melibatkan pelaksanaan kerja-kerja ‘Service Life Extension’ dan ‘Preventive Restoration Works/Overhaul’, yang membolehkan pesawat Sukhoi Su-30MKM kekal beroperasi dengan efisien.
“Langkah ini turut menjimatkan perbelanjaan negara berbanding menghantar pesawat tersebut ke Rusia bagi penyelenggaraan,” katanya selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Kontrak SLEP Pesawat Sukhoi Su-30MKM, di Pangkalam Udara Gong Kedah, Terengganu.
Mohamed Khaled Nordin berkata, kejayaan ini menggambarkan keupayaan industri tempatan.
“Namun, syarikat tempatan perlu terus meningkatkan keupayaan dan mencari pendekatan terbaik dalam mengukuhkan industri ini, termasuklah melalui meningkatkan R&D dan meneroka peluang dan kerjasama baharu, katanya lagi.
Turut berlangsung, Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara ATSC dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dalam penyelidikan dan inovasi pertahanan dan penyerahan sumbangan kebajikan kepada 9 penerima OKU warga PU Gong Kedak.
Kontrak pembelian 18 pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM itu ditandatangani pada 5 Ogos 2003 semasa Pameran LIMA (Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition).
Penghantaran pertama Sukhoi Su-30MKM dibuat pada 2007, dan kesemua pesawat diterima menjelang 2009.
Program senggaraan jet pejuang Su-30MKM dilaksanakan semasa Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) dan RMKe-13 bagi memastikan Su-30MM dapat beroperasi dengan sepenuhnya serta menjamin kelestarian pengoperasiannya sehingga tahun 2035.
Kerajaan melantik ATSC untuk memastikan negara mempunyai peralatan dan juga alat ganti yang mencukupi. Sebahagian daripada program penyelenggaraan tersebut melibatkan kemahiran bidang elektronik (E&E) dan mampu dilakukan oleh TUDM.
Su-33MKM merupakan salah satu daripada tunjang utama kekuatan TUDM dalam mengawasi kedaulatan ruang udara negara. Pada ketika ini sebanyak 18 buah pesawat ini dioperasikan semenjak kali pertama diterima pada tahun 2007. -airtimes.my
#pertahanan #airtimes #TUDM #ATM #SLEP #keupayaan