Home Semasa Undang-undang lapuk halang Malaysia hadapi cabaran teknologi baharu – Anwar

Undang-undang lapuk halang Malaysia hadapi cabaran teknologi baharu – Anwar

by Nurulhuda

DAVOS, 22 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada undang-undang lapuk untuk menghadapi cabaran baharu, terutama dalam era kemajuan teknologi pesat.

Beliau menyatakan bahawa perkembangan teknologi masa kini memerlukan kerajaan memanfaatkan peluang kerjasama antarabangsa untuk menangani cabaran-cabaran global dengan lebih berkesan.

“Kita ambil semua undang-undang terkini yang berkaitan di seluruh dunia, dan menyesuaikannya dengan sewajarnya, untuk meneruskannya. Mujur kerajaan mempunyai sokongan majoriti dua pertiga di parlimen. Itu sangat membantu,

“Ini kerana orang ramai akan melihat pelbagai perkara yang perlu kita lakukan untuk memberi makna kepada kerjasama yang berkesan dan dasar yang jelas, serta pelaksanaan pantas yang berkesan,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau bercakap demikian pada sesi taklimat media bertajuk ‘Unlocking ASEAN’s Digital Future: Driving Inclusive Growth and Global Competitiveness’ di Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025, di Davos, Switzerland pada Selasa.

Ketika ditanya bagaimana untuk mencapai potensi penuh ASEAN yang menyaksikan Malaysia sebagai pengerusi perkumpulan serantau berkenaan tahun ini, Anwar berkata semua pemimpin anggota mesti terus merangka dasar yang betul, terutamanya mengenai kemajuan pesat teknologi baru.

“Kerjasama itu bermaksud semua perlu merendah diri untuk mengakui bahawa ini adalah teknologi baru yang mencabar. Kita tidak mempunyai semua jawapan, oleh itu kerjasama mesti bermula dengan semua pihak terlibat, daripada pemain, syarikat-syarikat besar dan juga negara,

“Sekarang tugasnya bukan untuk muncul dengan jawapan, sebaliknya untuk mendapatkan semua input yang diperlukan, mengenai apa yang perlu dilakukan. Sudah pastinya ekosistem yang perlu ada, termasuk lapangan terbang, pelabuhan, infrastruktur, pusat kecemerlangan, penyelidikan dan kerjasama dengan universiti,” ujarnya lagi.

Beliau berkata selain kerjasama dalam kalangan pemimpin ASEAN, adalah juga penting untuk melibatkan sektor swasta, kerana teknologi adalah bidang yang memerlukan kerajaan untuk mengakui batasan mereka dan menerima pendekatan kolaboratif jika mereka ingin berjaya.

Anwar kini mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja tiga hari untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tahunan WEF 2025, di Davos.

Ini merupakan penyertaan pertamanya dalam WEF sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada 2022.-airtimes.my

#airtimes #semasa #Anwar #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?