Home Semasa Penghantaran pulang rakyat Palestin, belum ada tarikh muktamad

Penghantaran pulang rakyat Palestin, belum ada tarikh muktamad

by Aqilah Azman

KUALA LUMPUR, 22 JAN –  Biarpun perjanjian gencatan senjata antara Hamas dengan Israel sudah berkuat kuasa pada Ahad lalu, belum ada jangka masa khusus ditetapkan bagi urusan penghantaran pulang 41 rakyat Palestin yang dirawat di Malaysia bersama 86 waris mereka.

“Kita berharap akan mendapat penjelasan mengenai tindakan seterusnya. Namun setakat ini, tiada maklumat konkrit mengenai bila rakyat Palestin berkenaan akan dapat pulang ke tanah air mereka,” katanya.

Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali mengatakan, pihak kedutaan masih menanti maklum balas Kementerian Pertahanan (MINDEF) selepas nota diplomatik dikemukakan baru-baru ini.

Tambahnya, kebanyakan rakyat Palestin yang dirawat di negara ini bersedia untuk dihantar pulang, selain menyuarakan rasa kurang selesa akibat kelewatan proses berkenaan.

Pada Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata Kementerian Luar dan MINDEF sedang menyelaraskan proses untuk mempercepatkan penghantaran pulang rakyat Palestin yang dirawat di negara ini.

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, proses tersebut akan dimulakan setelah MINDEF mendapat kelulusan dan dokumen diperlukan daripada Kementerian Luar serta pihak berkuasa Palestin dan Mesir.

Bagaimanapun, beliau berkata, ada juga dalam kalangan mereka yang berhasrat untuk meneruskan rawatan di negara ini hingga Gaza kembali aman.

“Kami adalah tetamu di negara ini dan perlu menghormati setiap peraturan serta layanan diberikan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Walid berkata, pegawai kedutaan aktif memberi sokongan walaupun pihak kedutaan tidak terbabit secara langsung dalam urusan dua hala antara pihak berkuasa Mesir dengan Malaysia untuk membawa rakyat Palestin ke negara ini.

“Sejak mereka tiba, kami memudahkan urusan berhubung dokumen diperlukan untuk mangsa yang cedera dan waris, selain membuat penyelarasan dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan penjagaan mereka,” katanya.

Kumpulan rakyat Palestin itu tiba di Malaysia hasil usaha dua hala antara Kerajaan Mesir dengan Malaysia, untuk dirawat susulan kecederaan yang dialami ketika konflik di Gaza. –airtimes.my

#AirTimes #Gaza #Palestin #Pertahanan #MINDEF #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?