Home Semasa KK Mart disimbah cat merah: Jangan keruhkan keadaan, elak provokasi

KK Mart disimbah cat merah: Jangan keruhkan keadaan, elak provokasi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Jan – Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menyeru semua pihak agar tidak mencetuskan provokasi atau mengeruhkan keadaan susulan insiden sebuah cawangan kedai serbaneka KK Mart di Universiti Malaya (UM) disimbah cat merah oleh individu tidak bertanggungjawab.

Beliau menjelaskan, isu kontroversi penjualan sandwic ham dan cheese itu kini dalam siasatan polis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Mutakhir ini, terdapat tindakan dan kenyataan tertentu mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat, khususnya apabila berlakunya pelbagai insiden menganggu gugat keharmonian rakyat,

“Oleh itu, saya memohon agar semua pihak tidak mengeruhkan keadaan lagi dengan mengeluarkan atau membuat tindakan provokasi,

“Saya ingin mengingatkan bahawa setiap warganegara Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk menjaga dan memelihara sensitiviti demi memastikan keamanan dan kesejahteraan negara kekal terjamin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak cuba mengganggu gugat keharmonian negara yang dengan cubaan mencetuskan ketegangan di kalangan rakyat.

Dalam pada itu beliau juga mahu semua pihak bertanggungjawab dalam memperkukuh hubungan antara masyarakat berbilang kaum dalam negara.

Sebelum ini media melaporkan bahawa produk ‘Ham and Cheese Sandwich’ yang dijual di sebuah premis di Universiti Malaya (UM) tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Pada Rabu, media melaporkan kedai serbaneka berkenaan disimbah cat merah dan ia dipercayai berlaku pada jam 12.5 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan kes ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, pihak JAKIM mengesahkan kepingan ayam yang digunakan dalam sandwic tersebut mempunyai sijil halal, namun sandwic itu sendiri serta syarikat yang mengeluarkannya tidak memiliki sijil halal.

Sementara itu, KK Mart dalam satu kenyataan memaklumkan telah menggantung semua urusan perniagaan dengan pembekal sandwich yang dijual di kedai serbaneka 24 jam di universiti berkenaan.

Rangkaian kedai serbaneka itu juga memaklumkan bahawa bekalan produk daripada Shake and Bake Café untuk semua cawangannya dihentikan.-airtimes.my

#semasa #Malaysia #KKmart #sandwich #UM #jakim #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?