JOHOR BAHRU, 2 DIS 2024 – Projek Rapid Transit System (RTS) Link Johor Bahru–Singapura diteruskan dengan kerja pemasangan sistem rel yang dijangka bermula akhir tahun ini.
Projek mega ini membolehkan pengguna merentasi Bukit Chagar ke Woodlands North dalam tempoh 5 minit sekali gus memudahkan penyambungan ke Mass Rapid Transit (MRT) Singapura.
Melalui kenyataan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd, Syarikat Infrastruktur (InfraCos) dari kedua-dua negara telah mencapai banyak kemajuan dalam pembinaan infrastruktur , termasuk pembinaan jejambat marin, terowong, stesen dan depoh penyelenggaraan RTS Link.
Katanya, setakat ini, sekurang-kurangnya 93 peratus kerja infrastruktur telah siap di Malaysia manakala Singapura mencatat pembinaan lebih 80 peratus.
“InfraCos Malaysia telah memberikan akses lebih awal daripada yang dijadualkan ke RTS Operation ke depoh penyelenggaraan RTS Link mulai 30 Sep 2024 untuk permulaan pemasangan landasan dan akan terus menyerahkan akses secara berperingkat kepada baki infrastruktur kereta api mulai akhir tahun.
“Kerja-kerja pembinaan untuk menyambungkan RTS Link ke stesen Woodlands North Thomson-East Coast Line (TEL) sedia ada di Basement 1 juga akan bermula pada 2025,” ujarnya.
Mengulas lanjut, pada awal tahun hadapan, tumpuan penuh bukan sahaja akan diberikan kepada pemasangan bahagian luaran bangunan depoh, stesen dan Kompleks Imigresen, Kastam, dan Kuarantin (ICQ), malah juga kepada baki pemasangan awam, seni bina, mekanikal dan elektrikal serta kerja-kerja jalan.
Dijadual beroperasi pada Disember 2026, RTS Link ialah perkhidmatan ulang-alik transit ringgan yang mampu menampung sehingga 10,000 penumpang sejam dari setiap arah pada waktu puncak.
Stesen RTS Bukit Chagar berkenaan akan bersambung dengan KTM Antarabandar (ETS) dan Bas Rapid Transit (BRT) Iskandar.
Manakala, di bahagian Singapura, stesen RTS Woodlands North akan berhubung terus dengan MRT Laluan Thomson-East Coast di bawah tanah.
Menariknya lagi, firma infrastruktur Malaysia dan Singapura ini turut ditambah dengan pemasangan struktur ikonik iaitu Viaduct Aesthetic Feature (VAF), yang menggambarkan simbol berjabat tangan.
Terletak berhampiran jejambat landasan marin, VAF melambangkan hubungan erat dan kerjasama rapat antara Malaysia dan Singapura.
Bukan setakat itu sahaja, RTS Link juga dilengkapi dengan kemudahan imigresen ‘co-located’ di kedua-dua stesen Bukit Chagar dan Woodlands North bagi membolehkan penumpang menjalani pemeriksaan imigresen hanya sekali di tempat berlepas. -airtimes.my
#Malaysia #Singapore #MRTLink