Home Pertahanan dan Keselamatan Pesakit Palestin akan berada di Malaysia sehingga gencatan senjata dicapai

Pesakit Palestin akan berada di Malaysia sehingga gencatan senjata dicapai

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Pesakit dari Palestin yang kini mendapatkan rawatan di Malaysia akan terus berada di negara ini sehingga gencatan senjata di tanah air mereka tercapai.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, Kedutaan Besar Palestin di Kuala Lumpur sedang memproses dokumen bagi rakyat Palestin dengan pihak berkuasa di Ramallah dan ia dijangka siap pada pertengahan Disember 2024.

“Memandangkan situasi keselamatan semasa di Palestin, khususnya di Gaza, masih belum selamat, Kerajaan Malaysia dengan sokongan NGO iaitu Malaysian Humanitarian Aid and Relief, MAHA akan meneruskan misi kemanusiaan rakyat Palestin termasuk menyediakan keperluan asas seperti makan, minum dan tempat perlindungan,

“Semua rakyat Palestin akan dihantar pulang ke negara asal selepas gencatan senjata Palestin-Israel berjaya dicapai dan keadaan di Palestin kembali aman dan selamat,” jelasnya di Dewan Negara, pada hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkenaan status terkini warga Palestin yang dibawa dari Mesir untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan, kebajikan dan kelangsungan hidup serta memastikan mereka mendapatkan status sah atau dokumentasi rasmi yang diperlukan.

Bagi memastikan rakyat Palestin ini mempunyai dokumen sah sepanjang tempoh berada di Malaysia, Kementerian Pertahanan sedang bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk pemberian pas lawatan sosial yang terpanjang.

“Pemberiann pas lawatan sosial yang jangka panjang ini sama seperti program kemanusian Syria, Sudan dan Yaman yang pernah dilaksanakan sebelum ini oleh kerajaan Malaysia,” ujarnya lagi.

Sejak 16 Ogos lalu seramai 41 orang pesakit rakyat Palestin dibawa ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HAT Mizan).

Kesemuanya hadir bersama-sama 86 waris masing-masing dan 40 daripada jumlah pesakit tersebut telah selesai menerima rawatan dan dipindahkan ke Wisma Transit.

Dalam pada itu Adly turut memaklumkan bahawa seorang pesakit masih mendapatkan rawatan dialisis di hospital itu.-airtimes.my

#pertahanan #pesakit #palestin #bantuan #rawatan #Malaysia #HatMizan #airtimes

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!