Home Pertahanan dan Keselamatan MINDEF laksana 3 inisiatif, iktiraf kepakaran anggota dan ekonomi keluarga ATM

MINDEF laksana 3 inisiatif, iktiraf kepakaran anggota dan ekonomi keluarga ATM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan melaksanakan 3 inisiatif baharu hasil kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi meningkatkan taraf pendidikan, ekonomi, dan kesejahteraan keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha ini selari dengan komitmen kerajaan untuk memberi pengiktirafan formal kepada anggota ATM serta menyokong pembangunan keluarga mereka.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan seramai 1,000 anggota ATM daripada pelbagai kepakaran akan menerima manfaat menjelang 2025.

“WBL mampu menjana peluang kerjaya kedua dan kebolehpasaran dalam lingkungan kerja bagi anggota ATM setelah bersara,

“Selain itu, WBL juga akan memberikan pengiktirafan kepakaran dan pengalaman kerjaya yang dimiliki anggota kepada akreditasi akademik yang setaraf,” katanya berucap pada Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Antara KEMENTAH dan KPT di Wisma Perwira ATM, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Majlis menandatangani Memorandum of Understanding (MoU) antara MINDEF dan KPT telah dilakukan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.

Mengulas lanjut, Khaled berkata, sebanyak RM3 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi melaksanakan 10 program diploma yang dikenalpasti bersama UiTM, UTHM, dan UPNM pada tahun 2024.

Inisiatif kedua pula adalah Program Komuniti Tertumpu, yang akan memfokuskan kepada pembangunan ekonomi keluarga ATM melalui Projek Inovasi Sosial dalam kem-kem tentera.

“Di bawah usaha sama ini, suri rumah dan anak-anak keluarga ATM di kem-kem tentera akan menikmati manfaat hasil kolaborasi Yayasan LTAT dengan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK),

“Pelaksanaan program ini mensasarkan penglibatan sejumlah 500 hingga 1000 peserta dari kalangan anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ahli BAKAT,

“Ia akan dijalankan secara berperingkat, dimulai dengan fasa rintis di kem-kem di negeri Selangor dan juga Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur,” ujarnya lagi.

Menurutnya, program yang akan diselaraskan oleh Yayasan LTAT ini memberi peluang dan pendedahan kemahiran serta membantu usaha menjana pendapatan secara tersusun kepada isteri dan anak-anak warga ATM.

Manakala, Program Kolaborasi Industri (ICP) di bawah Bahagian Industri Pertahanan, Kementerian Pertahanan bersama pemain industri pertahanan terlibat yang sentiasa bersedia bekerjasama bersama KPT dalam usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber teknologi luar merangkumi aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta latihan.-airtimes.my

#pertahanan #KPT #kerjasama #Mindef #anggotaATM #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!