Home SemasaGlobal Kim Jong-un berlatih kendali kereta kebal, sedia hadapi peperangan

Kim Jong-un berlatih kendali kereta kebal, sedia hadapi peperangan

by Ashraf Manaf

PYONGYANG, 20 MAC –  Presiden Korea Utara, Kim Jong-un telah menyertai latihan pengendalian  kereta kebal baharu di negara itu, baru-baru ini.

Latihan tersebut menyaksikan kebolehan beliau dalam memandu kereta kebal utama yang dihasilkan oleh industri ketenteraan Pyongyang.

Lidah rasmi Korea Utara, KCNA memetik kenyataan Jong-un yang menyatakan berpuas hati dengan kenderaan tersebut.

“Presiden telah memuji kereta baharu itu sebagai yang terkuat dan terhebat di dunia,

“Beliau turut meminta anggota tentera untuk memperkuatkan semangat dan bersiap sedia untuk hadapi peperangan,” lapor KCNA.

Ini merupakan kemunculan ketiga Presiden Korea Utara ke latihan ketenteraan semenjak Amerika Syarikat dan Korea Selatan melaksanakan Exercise Freedom Shield.

Latihan bersama Washington-Seoul itu diadakan selama 11 hari dan mengundang kemarahan Korea Utara.

Korea Utara sebelum ini memberi amaran kepada Amerika Syarikat dan Korea Selatan bahawa mereka akan menerima padah sekiranya meneruskan siri provokasi. Sebarang latihan ketenteraan bersama Washington-Seoul  dilihat sebagai ‘provokasi perang’ oleh Pyongyang.

Jong Un pada akhir tahun lalu menegaskan hubungan Pyongyang dan Seoul sebagai 2 negara bermusuhan.

Kenyataan oleh beliau kemudiannya diikuti beberapa siri ketegangan di kawasan sempadan Korea Selatan dan Korea Utara.

Kedua-dua wilayah di Semenanjung Korea itu terpisah selepas tamatnya Perang Dunia ke-2. Kedua-dua negara terbabit pernah terjerumus dalam kancah perang selama 3 tahun pada era 1950-an.

Walaupun telah lama berlalu, kesan perang tersebut masih lagi dilihat pada hari ini. Malah, hasrat penyatuan kedua-dua buah negara itu dilihat kian pudar dengan melihat pendirian oleh Kim Jong-un. – airtimes.my

#AirTimes #Global #Korea

Related Articles

Leave a Reply