Home Semasa Belanja RM129 juta bagi program ramal banjir tidak berbaloi – PAC

Belanja RM129 juta bagi program ramal banjir tidak berbaloi – PAC

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menegaskan, kos sebanyak RM129 juta yang dibelanjakan bagi Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 1 tidak berbaloi kerana tidk dapat meramal aras air banjir serta masa dan lokasi banjir dengan tepat.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya mendapati demikian selepas mengadakan prosiding pada 16 Januari lalu bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Beliau berkata, kelemahan dalam pengurusan projek itu menyebabkan kelewatan kerja di Lembangan Sungai Kelantan dan Terengganu selama 1,829 hari dan di Lembangan Sungai Pahang selama 1,836 hari.

“Kos PRAB Fasa 2 yang asalnya berjumlah RM385 juta meningkat kepada RM522 juta berikutan penambahan sistem siren, kamera web dan program Communication, Educational and Public Awareness (CEPA),

“Pencapaian ketepatan HIT (sasaran impak tinggi) yang rendah, iaitu 5.6%, tidak mencapai sasaran sebagaimana dikehendaki di dalam PRAB yang memakan belanja RM129 juta,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, sebagai langkah penambahbaikan terhadap PRAB, PAC turut mengemukan 6 syor, antaranya memastikan baki 79 stesen daripada 118 stesen melaksanakan penukaran ‘Remote Terminal Unit’ (RTU) dengan kadar segera agar PRAB dapat berfungsi dengan sempurna.

“Petra dan JPS perlu memastikan segala kontrak yang dirangka mengambil kira perkembangan teknologi dan kesan jika berlaku kelewatan pelaksanaan ke atas projek,

“JPS perlu memastikan penyenggaraan pencegahan dilaksanakan mengikut jadual, dan kontraktor dipilih layak serta kompeten untuk melaksanakan penyenggaraan PRAB selain memastikan segala peralatan di stesen dilindungi dengan sewajarnya,” katanya lagi.

Selain itu, PAC turut menyarankan agar Petra dan JPS memastikan PRAB Fasa 2 dan 3 disiapkan mengikut masa, kos, kualiti dan peruntukan yang ditetapkan.

Ini termasuk memastikan program bagi Fasa 2 dan 3 yang dilaksanakan di Sabah dan Sarawak menggunakan teknologi yang berkesan, katanya.

Dalam kenyataan yang sama, Jawatankuasa itu memberikan tempoh 2 bulan kepada Petra dan JPS sebelum memanggil mereka semula bagi prosiding tindakan susulan untuk menyemak tindakan yang telah diambil terhadap syor-syor yang dikemukakan. -airtimes.my

#semasa #MetMalaysia #Malaysia #PAC #airtmes

Related Articles

Leave a Reply