SEOUL, 7 JUN – Syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) telah melancarkan jet pejuang FA-50GF yang pertama.
FA-50GF merupakan varian khusus jet pejuang ringan FA-50 untuk Poland.
Majlis pelancaran diadakan di Seoul, hari ini sebagai simbolik kerjasama antara Korea Selatan-Poland.
Menurut laporan Yeonhap, majlis pelancaran telah dihadiri oleh Menteri Pertahanan Korea Selatan, Lee Jong-sup dengan rakan sejawatannya dari Poland, Mariusz Blaszczak.
“Poland pada ketika ini mampu untuk melengkapkan dirinya dengan strategi ketenteraan yang ampuh disamping memenuhi keperluan modenisasi pasukan tentera,” kata Blaszczak.
Ujian penerbangan pesawat dijangka akan dijalankan pada bulan Julai. Sementara itu, KAI menyasarkan sebanyak 12 buah pesawat FA-50GF akan dihantar ke Poland pada akhir tahun ini.
Penghantaran tersebut adalah sebahagian daripada 48 FA-50GF yang dipesan oleh Poland selepas memeterai kontrak perolehan dengan KAI pada September 2022.
Designasi GF adalah merujuk kepada peranan pesawat terbabit sebagai “Gap Filler” bagi mengisi kelompongan kekuatan udara negara Eropah itu yang berhadapan dengan isu aset udara yang usang.
Baki 36 buah pesawat FA-50 yang dibeli oleh Poland akan dinaiktaraf kepada FA-50PL dan akan diterima oleh Warsaw mulai 2025 hingga 2028.
Pesawat yang bakal diterima oleh Poland dijangka adalah varian FA-50 Block 20, sama seperti yang akan diterima oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Berdasarkan laporan tersebut, FA-50PL mempunyai jarak penerbangan yang lebih jauh dengan memiliki keupayaan untuk mengisi minyak di udara, radar AESA serta sistem persenjataan udara-ke-udara serta udara-ke-darat. – airtimes.my