KUANTAN, 7 JUN – Tentera Amerika Syarikat dan Malaysia mula melaksanakan latihan ketenteraan bersama selama 10 hari.
Eksesais Bersama Warrior telah dirasmikan secara bersama oleh Asisten Ketua Staf J3 Markas Angkatan Bersama (MK AB) Laksamana Pertama Pulendren a/l Paramasivam dan Pengarah Staf Bersama Washington National Guard, U.S. Air Force Brigedier Jeneral Johan Deutscher.
Tahun ini merupakan kali ke-9 eksesais ini diadakan.
“Menangani situasi kecemasan akan terus menjadi usaha berpasukan, sama ada dalam bentuk kinetik atau bukan kinetik; semulajadi atau manusia,
“Inilah sebabnya mengapa Bersama Warrior begitu penting,” kata Deutscher dalam ucapan semasa upacara pembukaan pada 6 Jun.
Eksesais ini dianjurkan oleh US Indo-Pacific Command (US INDOPACOM) dan dihoskan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut Washington Air National Guard, Eks Bersama Warrior pada tahun ini menumpukan latihan peringkat staf dalam menyediakan perancangan untuk siri akan datang.
Latihan ini dihadiri lebih 30 anggota Washington Air National Guard, rakan kerja bersama ATM.
Sejak termeterainya kerjasama rasmi State Partnership Program yang dianjurkan oleh National Guard Bureau, Washington National Guard dan ATM telah mengadakan latihan secara berkala.
Tambahnya, latihan antara kedua-dua pihak adalah bertujuan untuk meningkatkan keupayaan bersama, kerjasama keselamatan, dan hubungan antara individu yang melampaui kerjasama ketenteraan.
“Kepentingan kami adalah kepentingan bersama. Dedikasi kami terhadap Pasifik yang bebas dan terbuka bukan hanya untuk pihak tertentu – ia adalah untuk kita semua,” kata Deutscher.
Menurut portal rasmi MK AB, Eks Bersama Warrior merupakan latihan dua hala ATM dan Amerika Syarikat semenjak 2010. – airtimes.my