Home Semasa Keputeraan Agong: Terima kasih semua, panggil saya Kit sahaja – Lim Kit Siang

Keputeraan Agong: Terima kasih semua, panggil saya Kit sahaja – Lim Kit Siang

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Ahli politik veteran, Tan Sri Lim Kit Siang menzahirkan penghargaannya kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas pengurniaan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM), yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ kepadanya.

Menerusi hantaran di laman Facebook miliknya, Kit Siang mengucapkan terima kasih atas ucapan tahniah kepadanya atas penganugerahan itu dan meminta orang ramai memanggilnya Kit sahaja.

“Terima kasih kepada semua yang mengucapkan tahniah, tetapi saya lebih suka orang hanya memanggil saya Kit,” tulisnya ringkas.

Terdahulu, Kit Siang, antara 839 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada Isnin.

Dalam majlis itu, Kit Siang bersama 36 individu lain dianugerahkan Panglima Setia Mahkota (PSM) iaitu anugerah Persekutuan kedua tertinggi yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.

Anugerah tertinggi ialah Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara, Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) atau Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia, Seri Setia Mahkota, yang membawa gelaran Tun.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, turut mengucapkan tahniah kepada Kit Siang dan memaklumkan ia adalah satu pengiktirafan amat bermakna kepada parti berkenaan.

“Patik bagi pihak DAP Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, atas perkenan Tuanku mengurniakan PSM, yang membawa gelaran Tan Sri kepada mantan Pengerusi dan Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang,

“Pengurniaan ini adalah satu pengiktirafan yang sangat bermakna kepada DAP dan juga satu penghormatan kepada sumbangan Tan Sri Lim Kit Siang dalam sistem demokrasi negara selama 57 tahun,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya, hari ini.

Loke turut memaklumkan, walaupun Kit Siang tidak pernah menjadi Anggota Pentadbiran dalam Kerajaan Persekutuan, sumbangan dan peranan beliau sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia selama 29 tahun amat penting dalam menyuburkan sistem demokrasi negara. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply