Home Teknologi Pertahanan KRI Bung Karno: Kapal kovet RM92 juta siap dalam masa 14 bulan

KRI Bung Karno: Kapal kovet RM92 juta siap dalam masa 14 bulan

by M.Daim

JAKARTA, 6 JUN – Indonesia telah mentauliahkan kapal kovet pertama yang dihasilkan negara itu, KRI BUNG KARNO 369.

Kapal kovet ini telah mula dibina pada 9 Jun 2022 sebelum dilancarkan pada 19 April lalu.

Pentauliahan KRI BUNG KARNO dilakukan pada 1 Jun lalu, serentak dengan Sambutan Hari Pancasila di negara kepulauan itu.

Menurut pihak Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI-AL), pentauliahan KRI BUNG KARNO merupakan pengukuhan kekuatan armada pasukan tentera laut negara republik itu.

Kapal tersebut telah dirasmikan oleh bekas Presiden Indonesia, Megawati Soekarnoputri di Jakarta.

Majlis Pentauliahan KRI Bung Karno telah dihadiri oleh bekas Presiden Indonesia, Megawati. Foto: TNI-AL

“KRI BUNG KARNO telah memperkuatkan armada TNI-AL melalui beberapa tugas operasi,

“Kapal ini menggantikan KRI BARAKUDA yang telah beroperasi selama 27 tahun,” kata TNI-AL dalam satu kenyataan.

Menurutnya, KRI BUNG KARNO sepanjang 73 meter itu akan dilengkapi dengan satu laras meriam utama OTO MARLIN 40mm keluaran Leonardo dan meriam automatik 20mm.

KRI BUNG KARNO siap dalam tempoh 14 bulan selepas kontrak pembinaan dimeterai.

Sistem pertahanan udara jarak dekat MBDA SIMBAD akan dipasang pada kapal ini. Selain daripada itu, KRI BUNG KARNO turut dilengkapi dengan sistem sonar dan persenjataan torpedo.

Kapal ini juga turut memuatkan fasiliti pendaratan helikopter dan hangar.

KRI BUNG KARNO diklasifikasikan sebagai kapal kovet dan kapal kepresidenan TNI-AL yang sebelum ini digalas oleh KRI BARAKUDA.

Kapal ini mempunyai penempatan VVIP yang kalis peluru dan boleh dijadikan sebagai kapal pemerintahan sekiranya diperlukan.

Tugas KRI BARAKUDA yang berusia 27 tahun kini digalas oleh KRI BUNG KARNO.

KRI BUNG KARNO berlayar pada kelajuan 22 knot dan mempunyai kelajuan maksimum 24 knot.

Kontrak pembinaan kapal kovet ini telah dianugerahkan kepada syarikat PT KARIMUN ANUGRAH SEJATI pada 25 Mei 2022. Pemotongan besi dan peletakan tunas kapal kemudiannya dilaksanakan pada 9 Jun 2022. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply