JAKARTA, 6 JUN – Indonesia telah mentauliahkan kapal kovet pertama yang dihasilkan negara itu, KRI BUNG KARNO 369.
Kapal kovet ini telah mula dibina pada 9 Jun 2022 sebelum dilancarkan pada 19 April lalu.
Pentauliahan KRI BUNG KARNO dilakukan pada 1 Jun lalu, serentak dengan Sambutan Hari Pancasila di negara kepulauan itu.
Menurut pihak Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI-AL), pentauliahan KRI BUNG KARNO merupakan pengukuhan kekuatan armada pasukan tentera laut negara republik itu.
Kapal tersebut telah dirasmikan oleh bekas Presiden Indonesia, Megawati Soekarnoputri di Jakarta.
“KRI BUNG KARNO telah memperkuatkan armada TNI-AL melalui beberapa tugas operasi,
“Kapal ini menggantikan KRI BARAKUDA yang telah beroperasi selama 27 tahun,” kata TNI-AL dalam satu kenyataan.
Menurutnya, KRI BUNG KARNO sepanjang 73 meter itu akan dilengkapi dengan satu laras meriam utama OTO MARLIN 40mm keluaran Leonardo dan meriam automatik 20mm.
Sistem pertahanan udara jarak dekat MBDA SIMBAD akan dipasang pada kapal ini. Selain daripada itu, KRI BUNG KARNO turut dilengkapi dengan sistem sonar dan persenjataan torpedo.
Kapal ini juga turut memuatkan fasiliti pendaratan helikopter dan hangar.
KRI BUNG KARNO diklasifikasikan sebagai kapal kovet dan kapal kepresidenan TNI-AL yang sebelum ini digalas oleh KRI BARAKUDA.
Kapal ini mempunyai penempatan VVIP yang kalis peluru dan boleh dijadikan sebagai kapal pemerintahan sekiranya diperlukan.
KRI BUNG KARNO berlayar pada kelajuan 22 knot dan mempunyai kelajuan maksimum 24 knot.
Kontrak pembinaan kapal kovet ini telah dianugerahkan kepada syarikat PT KARIMUN ANUGRAH SEJATI pada 25 Mei 2022. Pemotongan besi dan peletakan tunas kapal kemudiannya dilaksanakan pada 9 Jun 2022. – airtimes.my