Home SemasaGlobal Manila digesa terus dedah tindakan agresif China di kawasan perairan Filipina

Manila digesa terus dedah tindakan agresif China di kawasan perairan Filipina

by M.Daim

MANILA, 26 Feb – Kerajaan Filipina digesa untuk terus mendedahkan tindakan agresif China di kawasan perairan negara itu.

Gesaan tersebut dibuat selepas kapal pengawal pantai China (CCG) telah memancarkan laser terhadap pihak berkuasa maritim Filipina.

Menurut pakar undang-undang maritim Filipina, Dr Jay Batongbacal, China terus menggunakan taktik Grey Zone, tindakan tegas dan aktiviti kerana ia tidak didedahkan kepada umum.

“Secara tepat, faktor utama kenapa China terus menggunakan taktik sebegini kerana tindak tanduk mereka tidak diketahui oleh dunia,

“Situasi sebegini terus memberikan China untuk bertindak dengan lebih teruk,” katanya yang dipetik oleh media Filipina.

Sementara itu, Dr. Chester Cabalza dari Kerjasama Pembangunan dan Keselamatan Antarabangsa menegaskan tindakan menyembunyikan beberapa insiden maritim melibatkan China adalah berpunca dari hubungan baik Manila-Beijing pada satu ketika dahulu.

Menurut beliau, China akan berulang kali berbuat demikian sekiranya perkara tersebut terus disembunyikan.

“Jika tidak didedahkan, China akan mengulangi perbuatan mereka dan mungkin akan menjadi lebih teruk,” katanya.

Beliau menambah, kehadiran kapal dan tindakan agresif oleh negara kuasa di kawasan perairan bertindih adalah untuk menolak keluar Filipina “secara rela”.

Sementara itu, laporan itu memetik sumber Kementerian Luar Filipina yang menyatakan sebanyak 76 nota lisan dan bantahan dikeluarkan kepada China semenjak Ferdinand Marcos Jr memerintah.

Kapal Pengawal Pantai China dilaporkan bertindak agresif dan memancarkan laser ke arah vesel penguatkuasaan maritim Filipina.

Terdahulu, jurucakap Pengawal Pantai Filipina (PCG),  Commodore Jay Tarriela menyatakan terdapat beberapa insiden melibatkan pasukan itu dengan China tidak dilaporkan kepada umum.

Pada 6 Februari lalu, kapal PCG telah dipancarkan laser oleh CCG semasa melaksanakan misi ulang bekal kepada anggota tentera.

Menurut beliau, insiden tersebut merupakan kali kedua melibatkan pancaran laser oleh CCG.

Insiden pertama berlaku pada Jun 2022 menyaksikan anak kapal BRP Haragat milik PCG mengalami kegatalan kulit dan gangguan penglihatan. Simptom tersebut dialami oleh kru kapal selepas dipancarkan laser berwarna biru selama 20 minit oleh CCG. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply