Home Semasa Setiap warganegara berhak kebebasan bersuara, tapi ada batasnya – Fahmi Fadzil

Setiap warganegara berhak kebebasan bersuara, tapi ada batasnya – Fahmi Fadzil

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hari ini menegaskan setiap warga negara Malaysia mempunyai hak kebebasan bersuara tetapi berbatas.

Menurut beliau, kebebasan tersebut adalah tertakluk kepada apa-apa sekatan melalui undang-undang terutamanya dari segi keselamatan.

Fahmi menyatakan perkara tersebut di Dewan Rakyat, hari ini.

“Berdasarkan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa setiap warga negara berhak kepada kebebasan bersuara,

“Tertakluk kepada apa-apa sekatan melalui undang-undang yang didapati perlu atau suai manfaat demi antara lain kepentingan keselamatan negara, hubungan baik dengan negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan kerajaan sentiasa menyokong, mempertahankan dan menjamin kebebasan media serta hak kebebasan bersuara mengikut lunas Perlembagaan.

“Walaubagaimanapun, harus diingatkan bahawa hak yang dimiliki bukan bersifat penuh dan mutlak,

“Ianya harus dilaksanakan secara bertanggungjawab, beretika dan mengambil kira kepelbagaian budaya dan agama yang mencorakkan masyarakat Malaysia,

“Ingat, hak bersuara bukan hak memfitnah,” ujar beliau.

Dalam pada itu, menteri menjelaskan Akta Hasutan 1948 dan Akta Rahsia Rasmi 1972 bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi dan Digital.

Beliau menambah, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang tertakluk di bawah bidang kuasa pihak kementerian bukannya menyekat kebebasan media.

“Akta ini tidak pernah bertindak untuk menghadkan kebebasan media selagi mana penggunaan media elektronik tidak melanggar peruntukkan perundangan di bawah akta tersebut, khususnya di bawah peruntukkan Seksyen 211 dan Seksyen 233.

“Akta ini hanya bagi media dalam talian dan penyiaran. Sebaliknya tidak terpakai bagi media cetak yang tertakluk kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” jelas Fahmi. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?