KUALA LUMPUR, 3 MAC – Pejabat Perdana Menteri (PMO) menegaskan, Taklimat Harian PMO bukan bertujuan untuk menyingkirkan peranan jurucakap rasmi kerajaan, Fahmi Fadzil, secara halus.
Sebaliknya, inisiatif ini diperkenalkan bagi memperkukuh penyampaian maklumat berkaitan perkembangan harian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, taklimat ini tidak bertindih dengan peranan jurucakap kerajaan, sebaliknya berfungsi sebagai pelengkap dalam memperkukuh struktur komunikasi pentadbiran.
“Taklimat Harian PMO bukan pengganti kepada jurucakap kerajaan. Taklimat Harian PMO memberi tumpuan kepada perkembangan harian dan gerak kerja YAB Perdana Menteri, termasuk penjelasan beliau mengenai isu-isu semasa serta arahan kepada kementerian dan agensi bagi memastikan dasar kerajaan dilaksanakan secara sistematik,
“Peranan YB Fahmi Fadzil pula sebagai jurucakap Kerajaan MADANI pula adalah menjelaskan isu-isu berkaitan dasar kerajaan serta keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya menerusi taklimat harian yang disiarkan secara langsung di platform media sosial, hari ini.
Ujarnya, pembaharuan ini dilaksanakan sebagai strategi komunikasi yang lebih menyeluruh untuk mencantas fitnah serta maklumat palsu dengan pantas.
Kenyataan demikian dikeluarkan susulan dakwaan taklimat harian PMO berkenaan, bertujuan menyingkirkan peranan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam menjelaskan dasar dan keputusan kerajaan kepada rakyat.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri turut memaklumkan, Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 akan dibentangkan dalam sidang Parlimen esok.
RUU ini bertujuan memperkukuh autonomi Parlimen dalam melaksanakan fungsi legislatifnya, sekali gus meningkatkan ketelusan dan keberkesanan sistem demokrasi negara.
“RUU ini akan memberikan kematangan kepada sistem demokrasi negara dengan membuka ruang kepada Parlimen untuk menjalankan fungsi, peranan dan tanggungjawabnya dengan lebih bebas,
“YAB Perdana Menteri yakin RUU ini mengangkat Parlimen sebagai mercu tanda kebebasan bersuara dan menjulang proses demokrasi di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.” tambahnya.
Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan pelancaran Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang akan disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan PMO Malaysia.
Justeru, bermula Isnin (3 Mac), sesi taklimat akan diadakan sebanyak dua kali sehari iaitu pada jam 11 pagi dan 5 petang. Bagaimanapun, katanya ia tetap bergantung kepada keperluan.
Taklimat ini akan disampaikan oleh Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, bagi pihak Perdana Menteri. -airtimes.my
#Anwaribrahim #Taklimatharian #PMO #FahmiFadzil #Airtimes #TunkuNashrulAbaidah