KUALA LUMPUR, 15 Apr – Parti Keadilan Rakyat (PKR) memandang serius beberapa dakwaan salah laku atau pelanggaran undang-undang sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, termasuk dakwaan penggeledahan kereta polis dan pergaduhan di luar Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH).
Menurut Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, kedua-dua dakwaan tersebut akan dibawa ke peringkat Lembaga Disiplin parti untuk disiasat dengan segera.
“Sekiranya didapati sebarang tindakan telah dilakukan oleh mana-mana anggota PKR yang melanggar tata etika dan disiplin parti, maka tindakan tegas akan diambil terhadap anggota tersebut,” kata Fahmi dalam kenyataannya semalam.
“Perkara-perkara ini akan dibawa ke perhatian Lembaga Disiplin parti untuk siasatan segera,” tegas Fahmi.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Displin PKR, Dato‘ Ahmad Kasim dalam satu kenyataan berkata, PKR sedang memperincikan butiran anggota yang didakwa melakukan kesalahan tersebut di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau.
“Kami memandang berat kes-kes umpama ini terutamanya yang berkaitan dengan pencabulan undang-undang negara.
Ahmad juga berkata partinya amat prihatin dan mengesa seluruh anggota sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak mengambil jalan mudah.
Polis telah menahan dua daripada lima individu yang disyaki memeriksa kereta peronda polis (MPV) semasa hari pengundian Pilihan Raya Kecil DUN Rantau pada 13 Apr 19.
Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata kedua-dua mereka ditahan kira-kira 12 tengah hari semalam di lokasi berasingan.
“Polis juga kini sedang giat memburu tiga lagi suspek yang masih bebas,” tegas Mohamad Mat.
Pada Sabtu, dalam kejadian kira-kira 6 petang di hadapan SJKC Chung Hua, lima lelaki bertindak memeriksa kereta MPV kerana mendakwa anggota polis membawa lebihan kertas undi dan sebaik bonet MPV dibuka hanya peti ubat dan kon keselamatan ditemukan.