KUALA LINGGI, 20 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan telah menahan 16 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba keluar dari Malaysia secara haram di perairan Pantai Kanchong, Morib, Selangor, Khamis lalu.
Pengarah APMM Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, hasil maklumat risikan telah mengatur gerak anggotanya ke kawasan paya bakau yang dikesan terdapat sekumpulan individu dalam keadaan mencurigakan.
Iskandar Ishak menjelaskan, pasukan operasi telah mengesan beberapa PATI berada persisir pantai iaitu lebih kurang 0.4 BN barat daya perairan berkenaan.
“Anggota APMM bertindak mengejar sekumpulan PATI tersebut yang cuba melarikan diri bagi mengelakkan dari ditahan namun percubaan mereka gagal dan akhirnya seramai 18 orang berjaya ditahan termasuk 10 lelaki, 6 perempuan serta 2 kanak-kanak lelaki dan perempuan,
“Hasil pemeriksaan, kesemua mereka merupakan warganegara Indonesia berumur lingkungan 4 hingga 47 tahun dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” ujarnya lagi.
Menurut Iskandar, kesemua suspek ditahan dan seterusnya dibawa ke Jeti APMM Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk disiasat dibawah dibawah Akta Imigresen 1959/63 kerana cuba keluar Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan. -airtimes.my