Home Semasa Kerajaan beri tempoh 2 minggu teliti isu subsidi rakyat – Anwar Ibrahim

Kerajaan beri tempoh 2 minggu teliti isu subsidi rakyat – Anwar Ibrahim

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Majlis Tindakan Sara Hidup Negara diberikan masa selama 2 minggu untuk meneliti dan memperincikan semula pelbagai isu berkaitan subsidi untuk rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian subsidi kepada rakyat harus dilaksanakan secara bersasar demi memastikan hanya golongan yang benar-benar memerlukan dapat menikmatinya.

“Saya beri tempoh 2 minggu untuk mencerakin, menyelusuri seluruh implikasi dan bincang dengan sektor swasta serta pelabur supaya mereka faham subsidi tujuannya untuk meringankan beban rakyat miskin,

“Dan tentunya golongan yang kaya atau industri tidak harus mengambil manfaat tetapi mereka akan disediakan dengan kepentingan lain” katanya dalam sidang media di Putrajaya pada Ahad.

Dalam sidang media yang sama, beliau turut menjelaskan, pengumuman senarai Kabinet akan mengambil masa dalam beberapa hari lagi.

Tambahnya, ia kerana beliau tidak mahu melantik menteri dengan tujuan untuk memberi ganjaran secara berlebihan.

“Perbincangan untuk melantik menteri turut sedang dilaksanakan bersama parti gabungan Pakatan Harapan (PH),

“Ia masih dalam perbincangan, dalam beberapa hari lagi, insya-ALLAH kita akan kemukakan cadangan tersebut,” ujarnya.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 bersama jabatan dan agensi kerajaan bagi membincangkan isu kos sara hidup yang menekan rakyat. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply