Home SemasaGlobal Rusia arah tentera berundur dari Kherson

Rusia arah tentera berundur dari Kherson

by M.Daim

MOSKOW, 10 Nov – Menteri Pertahanan Rusia. Sergei Shoigu telah mengarahkan pasukan tentera negara itu berundur dari kawasan bandar Kherson.

Pengunduran dibuat sebagai penyusunan semula barisan hadapan tentera Rusia di wilayah itu.

Menurut laporan media Rusia, Ria Novosti, Shoigu telah bersetuju dengan cadangan penyusunan semula oleh Jeneral Sergei Surovikin.

“Selepas menilai situasi dan keadaan semasa, keputusan untuk memperkuatkan pertahanan di bahagian tebing Sungai Dnieper dilihat sebagai satu keperluan,

“Ianya satu keputusan yang sukar tetapi penting untuk memastikan keselamatan anggota tentera serta keupayaan ketumbukan di Kherson,

“Sebahagian ketumbukan yang sedia ada akan ditumpukan ke kawasan operasi lain,” kata Surovikin dipetik oleh media Rusia.

Jelasnya, rombakan ini dilakukan dalam masa terdekat di mana formasi dan unit di kawasan terbabit akan ditempatkan di garisan pertahanan di tebing Sungai Dnieper.

Surovikin menambah, pengunduran ini juga penting berikutan jaringan bekalan dan keselamatan nyawa anggota tentera Rusia sentiasa diancam di Kherson.

Kherson merupakan bandar yang ditawan oleh Rusia 2 Mac lalu selepas Moskow melancarkan ‘operasi ketenteraan khas’ terhadap Ukraine pada 24 Februari 2022.

Surovikin atau lebih dikenali Jeneral Armageddon telah dilantik untuk mengetuai operasi tersebut semenjak pertengahan Oktober lalu.

Beliau mempunyai pengalaman dalam konflik di Tajikistan, Chechnya dan Syria. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply