Home Politik Macam mana nak tolong veteran kalau berbillion habis disakau – Anwar

Macam mana nak tolong veteran kalau berbillion habis disakau – Anwar

by M.Daim

MERU, 10 Nov – Presiden Keadilan dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penyelewengan telah memberikan kesan negatif kepada pertahanan negara dan juga usaha bantuan kepada veteran tentera.

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa Dialog Veteran ATM Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia (PSPRM) Cawangan Perak, semalam.

“Saya tidak mahu janji banyak-banyak. Saya cuma kata, sistem kerajaan perlu dirombak,

“Nak minta tambah pencen RM 200, wang tidak ada. Wang tidak ada kerana disakau habis,” katanya.

Tambah Anwar Ibrahim, rayuan veteran yang sering kali dibangkitkan tetapi tidak diambil serius oleh kerajaan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional.

“Saya bukan nak kata kerajaan PN dan BN tidak layan langsung. Tetapi mereka tidak prihatin, itu masalahnya,

“Bayangkan orang bertempur lawan komunis, ada kecederaan – takkanlah mereka perlu merayu bertahun-tahun untuk dilayan,” ujar Anwar Ibrahim.

Beliau turut menyatakan Menteri Kanan Pertahanan dilihat tidak serius dan sambil lewa.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan penyelewengan dalam perolehan aset negara telah menyebabkan pertahanan negara terancam.

“Dalam kerajaan, RM6bilion boleh dibayar tetapi tidak nampak apa pun. Sistem pertahanan kita tercalar,

“Kemungkinan tidak akan tambah keupayaan seandainya ada peperangan dan pertempuran,

“Hanya kerana jaga tembolok beberapa orang, jahanam pertahanan,” ujar beliau.

Tambahnya, isu rayuan oleh kumpulan veteran tidak akan timbul sekiranya penyelewengan tak berlaku.

“Kalau kita buat tender dengan betul, berbilion boleh diselamatkan. Malah, wang boleh digunakan balik kepada tentera dan juga veteran,” jelas beliau.

Bayangkan orang bertempur lawan komunis, ada kecederaan – takkanlah mereka perlu merayu bertahun-tahun untuk dilayan – Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto: FB Anwar Ibrahim

Dalam pada itu, Anwar turut mengungkap kisah perolehan 2 buah kapal frigat dari sebuah limbungan kapal di United Kingdom yang tertangguh akibat komisen yang tinggi ketika beliau berada di dalam kerajaan pada satu ketika dahulu.

“Harga perolehan kita kena putuskan bersama dengan Kementerian Kewangan. Bertahun-tahun tanggu kerana komisennya tinggi,

“Dan akhirnya, keupayaan dan kesiapsiagaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terkesan,

“Keselamatan negara tidak boleh begitu rupa,” katanya.

Sementara itu, Anwar Ibrahim menyatakan jasa dan pengorbanan veteran tentera mesti dibalas dengan menjaga kebajikan mereka.

“Harapan tidak bercakap kosong seperti BN dan PN sebaliknya kami teguh membela semua lapisan masyarakat dan kebajikan golongan veteran tentera,

“Ia menjadi antara fokus apabila mengambilalih kerajaan,” kata beliau di akaun media sosial rasminya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply