Home SemasaGlobal Laman web tentera, bank Ukraine jadi sasaran serangan siber

Laman web tentera, bank Ukraine jadi sasaran serangan siber

by M.Daim

KYIV, 16 Feb – Serangan siber kembali mewarnai konflik Ukraine-Rusia selepas beberapa laman web kerajaan dan institusi kewangan negara Eropah Timur itu gagal berfungsi.

Laman web Kementerian Pertahanan Ukraine dan beberapa agensi negara itu gagal diakses pada tengah malam waktu Malaysia.

“Laman web pihak kementerian mengalami serangan DDoS (serangan penafian-perkhidmatan),” kata pihak Kementerian Pertahanan Ukraine di akaun media sosial rasminya.

Turut terkesan dengan serangan siber tersebut adalah laman web rasmi tentera Ukraine.

Sementara itu, pihak berkuasa keselamatan siber Ukraine mengesahkan para pelanggan bank di negara itu menerima mesej pesanan ringkas yang menyatakan gangguan perkhidmatan mesin ATM.

Jelasnya, mesej tersebut adalah tidak benar dan bertujuan mencetuskan panik di kalangan pengguna.

“Pihak kami telah mengenal pasti dalang di sebalik insiden ini,” katanya Ukraine Cyber Security Police secara ringkas di laman web rasminya.

Namun begitu, laman web bank Oschadbank dan Privatbank masih gagal diakses semasa berita ini disiarkan.

Tinjauan Air Times di akaun media sosial rasmi salah sebuah bank terbabit mendapati rakyat Ukraine mengeluh kerana mengalami kesukaran untuk melakukan urusan perbankan dalam talian.

Ukraine merupakan antara negara yang terkesan dengan serangan siber semenjak terjerumus dalam konflik dengan negara jirannya, Rusia.

Negara terbabit pernah mengalami serangan siber yang melumpuhkan sistem bekalan elektrik dan kewangan sehingga menjejaskan kehidupan penduduk Ukraine. – airtimes.my

Notis peringatan: Artikel dan berita eksklusif Air Times News Network tidak dibenarkan untuk diulang terbit, ulang siar, dan dicetak. Penggunaan sebagai konten Youtube termasuk skrip turut dilarang sama sekali.

 

Related Articles

Leave a Reply