COPENHAGEN, 23 SEPT – Lapangan Terbang Copenhagen terpaksa menggantung semua operasi selama hampir empat jam selepas pihak berkuasa melaporkan dua hingga tiga dron besar tidak dikenali berlegar di sekitar kawasan lapangan terbang, pada malam Isnin.
Menurut polis Denmark, dron-dron tersebut dikendalikan oleh seorang pengendali berkemahiran tinggi yang mampu menerbangkan peranti itu dari pelbagai arah.
Walau bagaimanapun, tiada tindakan menembak dilakukan kerana dikhuatiri menjejaskan keselamatan penumpang serta prasarana lapangan terbang.
Difahamkan, sekitar 50 penerbangan telah dialihkan ke lapangan terbang lain manakala lebih 100 penerbangan dibatalkan atau ditunda, dengan kira-kira 20,000 penumpang terjejas akibat insiden tersebut.
Polis masih menyiasat kemungkinan kaitan dengan kejadian dron serupa di Oslo, Norway, yang turut menutup operasi lapangan terbangnya sebentar pada malam sama.
Namun setakat ini tiada bukti rasmi bahawa kedua-dua insiden itu dirancang bersama.
Lapangan Terbang Copenhagen dalam kenyataannya memaklumkan, operasi penerbangan sudah disambung semula. Namun begitu, kelewatan dan pembatalan masih dijangka berlaku.
Sementara itu, beberapa lapangan terbang Eropah turut berdepan serangan siber yang menjejaskan sistem kawalan operasi penerbangan minggu lalu. Situasi ini mencetuskan kebimbangan berikutan peningkatan ketegangan di antara Rusia dan NATO mutakhir ini.– airtimes.my
#global #semasa #serangansiber #dron #keselamatan #airtimes



