Home SemasaGlobal Perang Siber: Kumpulan pro Iran sekat web perkhidmatan kesihatan Israel

Perang Siber: Kumpulan pro Iran sekat web perkhidmatan kesihatan Israel

by M.Daim

TEL AVIV, 18 Jul – Kumpulan penggodam pro Iran, Altahrea Team mengaku bertanggungjawab dalam satu serangan siber terhadap laman web Kementerian Kesihatan Israel.

Serangan yang dilancarkan pada Ahad telah menyebabkan pelawat dari luar Israel gagal untuk mengakses laman web tersebut.

“Gangguan perkhidmatan terhadap laman web rasmi telah menyebabkan pelawat luar yang ingin memasuki Israel gagal mengakses perkhidmatan,

“Laman web masih boleh diakses dari dalam Israel,” lapor media Israel yang memetik kenyataan pihak berkuasa Tel Aviv.

Jelasnya, laman web tersebut turut memuatkan maklumat dan dasar berkaitan COVID-19 kepada pelawat yang ingin datang ke Israel.

Kumpulan Altahrea Team dilaporkan mula aktif semenjak tahun 2020.

Altahrea Team merupakan kumpulan penggodam pro Iran yang berpangkalan di Iraq.

Dalam satu kenyataan oleh kumpulan terbabit, serangan siber dilancarkan sebagai tindak balas terhadap tindakan ketenteraan Israel di Gaza pada hujung minggu lalu.

Kumpulan ini juga didakwa terlibat dalam serangan siber terhadap laman web pihak berkuasa tempatan Jerusalem, pihak berkuasa lapangan terbang Israel dan syarikat pertahanan Rafael.

Menurut laporan Washington Institute for Near East Policy, Altahrea  Team bertanggungjawab dalam beberapa siri serangan siber di Turki dan Arab Saudi.

“Altahrea  Team atau nama sebenarnya al-Tahirah Team merupakan kumpulan penentang (resistance) yang mempunyai kaitan dengan agensi berita Sabereen News pro militia,

“Kumpulan ini mula aktif semenjak tahun 2020,” kata laporan itu.

Pembunuhan pemimpin tentera Iran, Qasem Soleimani menjadi antara titik kemuncak permusuhan antara Iran dengan Barat serta Israel.

Israel sebelum ini melaporkan peningkatan serangan siber yang dilancarkan oleh kumpulan yang berkaitan dengan Iran.

Antara serangan yang dilancarkan terhadap Israel adalah fasiliti bekalan air. Dalam serangan yang dilancarkan pada tahun 2020 ini, kumpulan penggodam Iran telah melumpuhkan sistem komputer yang mengawal pengaliran air kumbahan dan bekalan air.

Selain daripada itu, kumpulan penggodam Iran turut berjaya menceroboh dan mengaktifkan sistem amaran serangan roket di Eilat serta Jerusalem pada lewat Jun lalu.

Serangan siber antara Iran dan Israel dilaporkan meningkat dari tahun ke tahun. Ini terutamanya selepas kematian pemimpin tentera Iran, Qasem Soleimani pada awal 2020. Selain daripada itu, Tehran mendakwa Tel Aviv terlebih dahulu telah melancarkan serangan siber terhadap stesen janakuasa nuklear Iran. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply