Home SemasaGlobal Ambil pengajaran dari krisis Ukraine – Menteri Luar China

Ambil pengajaran dari krisis Ukraine – Menteri Luar China

by M.Daim

BEIJING, 18 Jul – Menteri Luar China, Wang Yi menegaskan masyarakat global perlu mengambil pengajaran daripada krisis yang berlaku di antara Ukraine dan Rusia.

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa panggilan telefon dengan rakan sejawatannya dari Hungary, Peter Szijjarto.

“Wang Yi menyatakan krisis Ukraine bukan sahaja memberikan kesan buruk kepada Eropah. Malah konflik tersebut telah memberi tempias kepada global,

“China mahu jalan rundingan damai sebagai penyelesaian walaupun tidak terlibat langsung dalam krisis Rusia-Ukraine,” lapor media China.

Dalam panggilan tersebut, Szijjarto menyatakan perang di timur Eropah telah memberikan kesan negatif dari segi ekonomi dan kewangan terhadap Hungary.

“Perang di Ukraine telah menyebabkan inflasi, peningkatan harga bahan api, krisis bekalan makanan dan migrasi global,

“Situasi ini akan mengancam kestabilan global,” Szijjarto di akaun media sosial rasmi beliau.

Peningkatan harga gandum antara kesan yang paling ketara dilihat akibat peperangan dari Ukraine.

Tambahnya, Hungary mahukan usaha damai dipercepatkan kerana ia merupakan satu jalan penyelesaian yang baik untuk menghadapi kesan dari peperangan.

Perang di Ukraine telah memasuki hari ke-144 semenjak ia berlaku 24 Februari lalu. Pertempuran dan bedilan artileri dilaporkan berlaku di kawasan barisan hadapan antara kedua-dua negara di timur serta selatan Ukraine.

Sehingga kini, Rusia dilaporkan telah menguasai beberapa kawasan di wilayah Kherson, Luhansk, Donestk dan Zaporizhzhia. Luhansk merupakan satu-satunya wilayah yang dikuasai sepenuhnya oleh Rusia.

Penguasaan Moskow di wilayah tersebut dilihat sebagai satu pembentukan koridor darat antara Crimea dengan Rusia yang dipisahkan oleh Laut Azov.  Penguasaan ini sekaligus menutup akses Ukraine kepada Laut Azov.

Selain daripada itu, Rusia turut mempertingkatkan serangan di kawasan wilayah Kharkiv di utara Ukraine.

Pada 30 Jun lalu, Rusia telah mengundurkan tenteranya dari Pulau Ular (Zmiinyi Island) yang ditawan pada hari pertama peperangan. Pengunduran dilakukan oleh Moskow sebagai isyarat muhibah (gesture of goodwill) kepada Kyiv. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply