Home SemasaGlobal Badai subvarian Omicron: Jepun terus catat kes harian lebihi paras 100 ribu

Badai subvarian Omicron: Jepun terus catat kes harian lebihi paras 100 ribu

by M.Daim

TOKYO, 18 Jul – Jepun terus mencatatkan kes jangkitan baharu COVID-19 melebihi paras 100 ribu untuk hari ketiga berturut-turut.

Pada ketika ini, Negara Matahari Terbit itu sedang menghadapi gelombang ketujuh wabak COVID-19. Peningkatan kes COVID-19 didakwa berpunca dari subvarian Omicron BA.5 yang cepat merebak.

“Sebanyak 105,584 kes COVID-19 dicatatkan pada hari Ahad. Seramai 129 pesakit dilaporkan tenat,” lapor Jiji Press.

Menurutnya, Tokyo telah merekodkan 17,790 kes. Bandar metropolitan itu telah mencatatkan angka melebihi paras 10 ribu untuk hampir seminggu.

Kerajaan Jepun telah menggariskan langkah untuk membendung kesan gelombang baharu COVID-19. Langkah tersebut bermatlamat untuk mengurangkan penularan wabak tanpa menjejaskan perniagaan dan lain-lain aktiviti.

Antara langkah yang diambil adalah untuk menggalakkan warga emas mengambil dos keempat vaksin COVID-19.

Selain daripada itu, pihak berkuasa Jepun turut memperkenalkan perkhidmatan saringan secara percuma di stesen kereta api dan lapangan terbang serta memperkemaskan pengaliran udara dalam bangunan.

Kerajaan Jepun pada ketika ini menolak kawalan pergerakan yang mungkin akan menjejaskan aktiviti sosial dan ekonomi.

“Pada ketika ini kita tidak bercadang untuk mengenakan kawalan pergerakan,

“Namun begitu, kita perlu berjaga-jaga dalam usaha memulihkan aktiviti ekonomi serta sosial,” kata Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida yang dipetik oleh Nippon

Polisi kerajaan Jepun pada ketika ini adalah untuk melakukan transisi dan membiasakan kehidupan dengan kewujudan COVID-19.

Subvarian Omicron BA.5 dijangka akan menjadi varian dominan di Jepun seawal Ogos ini.

Varian ini merupakan varian yang paling mudah merebak berbanding varian BA.2.

Pada 8 Julai lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengesahkan BA.5 telah pun dikesan dalam negara.

Menurut beliau, ia berdasarkan 13 sublineage Omicron yang dipantau rapi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia antara Mei hingga Jun.

Dalam sidang media yang diadakan di Parlimen, Khairy menjangkakan kes harian COVID-19 akan meningkat. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply