FUKUOKA, 10 Feb – Kapal selam milik Pasukan Pertahanan Maritim Jepun (JMSDF) telah bergesel dengan sebuah kapal dagang pukal di selatan Jepun.
Kapal selam Soryu, yang berukuran 84 meter itu dalammisi pelayaran latihan sekitar 27 batu nautika di selatan Tanjung Ashizuri, di barat daya Pulau Shikoku, Jepun.
JMSDF dalam satu kenyataan berkata, Soryu telah mengalami kerosakan kecil dibahagian atas dan pemancar komunikasi, manakala tiga anak kapalnya juga dilaporkan mengalami cedera ringan.
Menurut Menteri Pertahanan Nobuo Kishi, kapal dagang terbabit tidak mengalami kerosakan.
“Kapal dagang itu telah meninggalkan kawasan kejadian, dan telah memaklumkan kepada Pengawal Pesisir Pantai Jepun (JCG) bahawa kapal itu tidak mengalamisebarang kerosakan,
“Krew kapal terbabit menjelaskan bahawa mereka tidak menyedari bahawa berlakunya perlanggaran,” kata Kishi.
Menurut siaran televisyen NHK, kapal dagang pukal itu telah dikenal pasti dengan nama Ocean Artemis.
Ketika kejadian, kapal dagang pukal yang berdaftar di Hong Kong itu sedang membawa muatan 90,000 tan besi ke Okayama di barat Jepun.
Pihak JCG dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Jepun juga akan membuka kertas siasatan berhubung insiden ini.
Soryu merupakan kapal selam diesel-elektrik dengan mempunyai kru sekitar 65 orang. Kapal selam ini mula beroperasi pada tahun 2009. – airtimes.my