Home SemasaGlobal COVID-19: Denda RM 53 ribu jika langgar perintah kuarantin

COVID-19: Denda RM 53 ribu jika langgar perintah kuarantin

by M.Daim

LONDON, 20 Sept – Mana-mana individu yang didapati melanggar perintah kuarantin kendiri bakal dikenakan tindakan denda sebanyak RM 53 ribu.

Peraturan baharu itu telah diumumkan oleh Perdana Britain, Boris Johnson pada hari Sabtu.

Di bawah peraturan baharu itu, denda yang paling minima akan dikenakan adalah MYR 5,331.59 (1 ribu Pound Sterling).

Denda maksima sebanyak MYR 53,315.89 (10 ribu Pound Sterling) akan dikenakan kepada pesalah yang didapati mengulangi perbuatan tersebut. Peraturan denda ini turut melibatkan pesakit COVID-19 dan kontak rapat mereka.

Selain itu, majikan yang memaksa pekerja mereka untuk melanggar peraturan kuarantin juga akan dikenakan tindakan denda maksimum.

Peraturan ini akan berkuatkuasa mulai 28 September 2020.

Menurut Boris, langkah ini terpaksa dilakukan bagi memastikan semua pihak untuk berkerjasama dalam membendung penularan wabak pandemik itu.

“Dengan peraturan baharu ini, tiada sesiapa pun boleh memandang ringan akan isu COVID-19. Arahan terbaharu ini menuntut kita semua untuk terus mematuhi peraturan,” kata Perdana Menteri Britain yang dipetik oleh BBC.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan peraturan baharu ini adalah mustahak bagi Britain dalam menghadapi penularan wabak itu.

“Kita akan lakukan apa sahaja untuk membendung penularan virus, melindungi orang yang berisiko tinggi dari dijangkiti dan melindungi perkhidmatan kesihatan serta nyawa,” ujarnya.

United Kingdom kini sedang berdepan dengan gelombang kedua penularan wabak COVID-19.

Negara itu telah mencatatkan peningkatan kes harian sebanyak 4,422 kes pada 19 September, merupakan yang tertinggi semenjak 8 Mei. Selain itu, 27 kes kematian dilaporkan.

Sehingga kini, United Kingdom telah mencatatkan jumlah kes jangkitan sebanyak 390,358 dan 4,422 kematian. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply