Home Semasa Laksamana Azwanddin lari dari medan perang, NGO Melayu karam

Laksamana Azwanddin lari dari medan perang, NGO Melayu karam

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 9 Sept –Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menyaksikan peletakan jawatan secara beramai-ramai oleh beberapa orang ahli jawatankuasa (AJK) utama dalam pertubuhan itu.

Bekas Ketua Setiausaha JMM, Hamdan Mohd Salleh ketika menghubungi Air Times berkata, peletakan jawatan oleh beliau bersama beberapa AJK dalam pertubuhan itu adalah berkuatkuasa serta-merta.

Menurut beliau, JMM telah hilang arah selepas peletakan jawatan presidennya, Datuk Azwanddin Hamzah pada 2 Ogos lalu.

“JMM umpama sebuah kapal perang yang sudah karam menanti tender baru untuk dibaiki dan dinaikkan semula kerana Laksamananya telah lari dari medan perang,” kata Hamdan dalam kenyataan.

Antara AJK yang dilaporkan meletak jawatan dan keluar sebagai ahli ialah dua naib presidennya, Abd Rahim Omar dan Mohd Faizall Yunus.

“Bendahari, Khalijah Mohamed dan Ketua Penerangan, Faizan Mohd Nor turut menghantar surat peletakan jawatan,” kata Hamdan.

Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia mula diasaskan oleh Azwanddin pada tahun 2008 dengan menggunakan nama Jaringan Melayu Muda. Matlamat utama pertubuhan ini adalah untuk membina jaringan untuk memartabatkan bangsa Melayu.

Selepas 13 tahun mengetuai JMM, Azwanddin telah meletakkan jawatannya pada 2 Ogos lalu dan digantikan bekas pemain bola sepak negara, Azlan Johar. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply