KUALA LUMPUR, 19 Jan – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) akan menyediakan pasukan peguam bagi mencabar dan mencelah tindakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini cuba membatalkan pengisytiharan Proklamasi Darurat.
Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, tindakan Anwar mempersoalkan keabsahan Proklamasi Darurat adalah satu tindakan yang cuba mencabar kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Yang di Pertuan Agong telah berpuashati dengan penjelasan dan berkenan membuat keputusan berdasarkan cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas nasihat oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia,
“Tindakan Anwar juga memperlihatkan beliau seorang yang sangat gila kuasa dan berpolitik tanpa batasan sehingga sangup memperjudikan nasib hidup rakyat dan keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Anwar sepatutnya bersama kerajaan bagi memupuk semangat patriotik rakyat dan menyeru untuk memperkasa perpaduan negara bagi menghadapi cabaran besar yang dihadapi oleh negara sebagaimana yang dititah nasihatkan oleh Seri Paduka Baginda semasa pembukaan parlimen terdahulu.
Menurutnya, UMMAH yang mewakili lebih 500 NGO Islam diseluruh negara telah bersedia dengan pasukan peguam untuk berhadapan mencabar saman yang akan dikemukakan oleh pasukan peguam Anwar bagi mempertahankan kuasa yang Seri Paduka Baginda sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. – airtimes.my