KUALA LUMPUR, 12 Dis – Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa memaklumkan, sebanyak 10,000 pemohon telah mendaftar sebagai Ahli MN selepas beberapa jam dibuka keahliannya.
Perkara itu dikongsikan Annuar Musa menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin.
“Subhanallah… baru beberapa jam keahlian MN dibuka sudah lebih 10,000 permohonan keahlian diterima,
“Saya amat terharu betapa ramainya di luar sana, anak bangsa yang prihatin terhadap agama, bangsa dan negara serta cintakan muafakat,” katanya.
Annuar berkata, sokongan yang ditunjukkan itu memberi satu kekuatan baharu kepadanya untuk terus berjuang.
“Tiba tiba saya merasa suatu kekuatan baharu untuk terus berjuang bersama mereka yang jujur dan ikhlas,
“Semoga ALLAH SWT memudahkan segala urusan kita seterusnya,” ujarnya lagi.
Semalam, Setiausaha kerja MN, Datuk Mohd Irwan Rizal menjelaskan, MN sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar di bawah Pendaftaran Pertubuhan Malaysia telah membuka pendaftaran keahliannya.
Beliau berkata, pendaftaran itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas tanpa mengira agama dan kaum selaras dengan matlamat penubuhan MN.
“Pendaftaran tersebut boleh dilakukan secara atas talian (online) melalui laman sesawang rasmi MN iaitu muafakatnasional.org.my dan media sosial MN,” jelasnya. -airtimes