Home Semasa 175 NGO rayu Agong campur tangan henti perebutan kuasa pemimpin politik

175 NGO rayu Agong campur tangan henti perebutan kuasa pemimpin politik

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Sebanyak 175 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam merayu campur tangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu untuk menghentikan pertelingkahan parti politik serta memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat.

Pengerusi Gerakan Pembela UMMAH, Mohd Zai Mustafa dalam kenyataan bersama berkata, gerakan itu kecewa kerana pemimpin politik terus sibuk berebut kuasa dalam keadaan negara sedang bergelut dengan peningkatan kes COVID-19 sehingga melebihi 20,000 sehari dan kes kematian dalam lingkungan 3 angka.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan pemerintah ketika ini terbubar, maka tiada pihak lain memperoleh majoriti membentuk kerajaan.

“Sekiranya keadaan ini berlaku ia sudah pasti akan menjejaskan dan meletakkan negara dalam keadaan yang amat tidak stabil. Ini akan menjejaskan usaha dan fokus kerajaan menagani COVID 19,

“Pihak kami menyambut titah nasihat Sultan Selangor, Sultan Johor dan Pemangku Raja Pahang yang menitahkan agar pemimpin berhenti daripada perebutan kuasa dan mengutamakan kemaslahatan rakyat dan perpaduan ummah,

“Kerisauan dan kekecewaan yang dizahirkan oleh baginda raja-raja Melayu berkaitan dengan krisis politik yang tidak berkesudahan ini perlu ditangani oleh semua pihak,

“Jadi apa yang utama kita utarakan dalam memorandum adalah kita mengharapkan ke bawah Duli Yang Maha Mulia campur tangan supaya negara ini terus aman, stabil dan harmoni serta dapat mengekalkan kerajaan yang ada untuk melaksanakan urusan berkaitan menangani COVID-19 dengan sebaiknya sehingga ia dapat terkawal,” katanya.

Antara NGO yang bersama dalam kenyataan itu ialah Konfederasi NGO Kelantan (KNK), Sekretariat Kongres Rakyat 2.0, Pertubuhan Cakna Insan Muslimah Taiping, Yayasan Amal Malaysia, Muktamar Dakwah Malaysia dan Pertubuhan Kemajuan Ekonomi Rakyat Terengganu Darul Iman (Pekerti).

Terdahulu, Mohd Zai bersama beberapa wakil NGO menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di pintu 3, Istana Negara, hari ini.

Pengerusi Gerakan Pembela UMMAH, Mohd Zai Mustafa bersama beberapa wakil NGO menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di pintu 3, Istana Negara, hari ini.

Menurutnya, isu pertukaran Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri atau pertukaran kerajaan bukanlah perkara yang sesuai dilakukan pada masa ini kerana ia hanya akan menambahkan lagi kecelaruan sedia ada.

“32 juta rakyat Malaysia tidak patut dipertaruhkan nyawanya hanya kerana memuaskan nafsu segelintir ahli politik yang tamakkan kuasa.

“Tidak ada jaminan bahawa pertukaran Perdana Menteri atau kerajaan pada sekarang akan dapat mempercepatkan langkah membasmi COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara,

“Apa yang sepatutnya khuatiri ialah ia akan menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk dan nasib rakyat akan menjadi lebih buruk,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, beliau berharap agar pemimpin di negara ini kembali fokus kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat khusunya ketika mendepani pandemik ini.

“Mereka tidak menggunakan Parlimen sebagai tempat untuk mencari kata sepakat bagi memerangi musuh bersama, sebaliknya merosakkan demokrasi dengan cara menyalahgunakannya bagi kepentingan sendiri,” jelasnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply