SEBERANG PERAI, 29 Nov – Seramai 40 lelaki dipercayai ahli kongsi gelap yang berselindung di atas nama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam serbuan di sebuah restoran mewah di Seberang Jaya, pada Sabtu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, serbuan di buat ketika kesemua lelaki tersebut menyertai majlis pengenalan dan pendaftaran ahli baru.
“Bertindak atas maklumat awam sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Seberang Perai Tengah telah menyerbu sebuah restoran mewah yang terletak di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada jam 9.30 malam,
“Serbuan yang dijalankan pada 27 November lalu dibuat kerana pihak polis mengesyaki satu kumpulan kongsi gelap telah cuba mengaburi pihak berkuasa dengan berselindung disebalik NGO bagi menghidupkan kembali pengaruh mereka di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis,” katanya dalam hantaran di laman sosial PDRM Pulau Pinang.
Beliau berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 22 hingga 56 tahun dan berasal dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
“Pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak polis juga mendapati 8 daripada lelaki yang ditahan mempunyai tatoo sebuah pertubuhan haram,
“Polis juga turut merampas 56 buah telefon bimbit, 2 bentuk cincin, seutas rantai serta sepasang subang yang mempunyai lambang sebuah pertubuhan haram,” ujarnya.
Menurut Rahimi, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Kesalahan menganggotai pertubuhan yang menyalahi Undang-Undang) yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara tidak lebih daripada 3 tahun atau denda tidak lebih daripada RM 5000 atau kedua-duanya.
“Kesemua yang ditangkap kini ditahan reman untuk siasatan,” jelasnya. – airtimes.my