Home Semasa KDN sedia bincang, beri maklumat berkaitan SOSMA

KDN sedia bincang, beri maklumat berkaitan SOSMA

by Bernama

LENGGONG, 16 Dis – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedia mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bagi memberikan maklumat berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata perbincangan itu juga antara lain bagi membolehkan tidak berlakunya salah faham berkaitan undang-undang yang ada di negara ini termasuk SOSMA.

“Kami sedia dengar pandangan dan buka peluang untuk NGO datang (berjumpa) supaya kami boleh beri maklumat agar mereka faham,

“Mereka mungkin tidak dapat maklumat tepat. Jadi kami boleh kongsi maklumat,” kata Ahli Parlimen Lenggong itu selepas merasmikan Festival Lenggong GeoPark di Laman Budaya Lenggong hari ini.

Jelasnya, apa sahaja undang-undang dibuat, adalah demi kepentingan rakyat dan negara ini.

Semalam, Naib Presiden Muda Zaidel Baharudin berkata kerajaan patut menyemak semula SOSMA dan tampil dengan undang-undang baharu yang lebih bagus.

Terdahulu, Shamsul Anuar berkata peluang pelaburan baharu dan besar mampu mengangkat Lenggong GeoPark sebagai kalendar penting pelancongan untuk dimanfaatkan pelancong tempatan dan luar negara, termasuklah penyediaan pusat konvensyen dan prasarana pelancongan.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply