KUALA LUMPUR, 15 Dis – Selepas gagal mempertahankan kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu, bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dilaporkan telah menyertai badan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Nasional (MN).
Perkara itu didedahkan sendiri oleh Pengasas NGO itu, Tan Sri Annuar Musa menerusi hantaran di media sosialnya malam tadi.
Pada masa yang sama, beliau memaklumkan bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu turut mengadakan pertemuan di pejabatnya.
“Terima kasih Datuk Zuraida Kamaruddin kerana sudi bertandang ke pejabat saya,
“Terima kasih juga kerana menyertai MN,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.
NGO MN ialah persatuan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) merupakan gabungan pakatan Pilihan Raya antara UMNO dan PAS yang dimeterai pada 14 September 2019.
Bagaimanapun, usaha penyatuan ummah itu tidak kesampaian apabila UMNO enggan meneruskan kerjasama susulan tindakan PAS bergabung dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menerusi Perikatan Nasional (PN).
Pada Sabtu, permohonan untuk MN sebagai ahli baharu telah dibuka dan Annuar menjelaskan permohonan itu sepatutnya dibuka minggu hadapan, namun atas permintaan ramai ia dibuat lebih awal melalui laman web rasmi MN di https://muafakatnasional.org.my.
Annuar, pada Jumaat telah dipecat keahliannya daripada UMNO kerana dilihat suka mengkritik dan mencemuh tindakan parti sendiri.
Kemudian, pada 25 November lalu, bekas Setiausaha Agung UMNO itu memutuskan untuk mengaktifkan kembali MN, sebuah NGO yang diasaskannya.
Menurut laman web MN, pertubuhan itu ditubuhkan sebagai sebuah NGO berperanan sebagai platform untuk melaksanakan program dan aktiviti kearah memupuk nilai muafakat serta mewujudkan keterangkuman tanpa bersifat perkauman.
MN juga akan mempromosikan perpaduan ummah serta menjunjung keutuhan sistem politik negara yang lebih baik, berpaksikan Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia.-airtimes.my